ANIQ (kiri) dan Aznil (kanan) bersama Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya. FOTO ARKIB NSTP
ANIQ (kiri) dan Aznil (kanan) bersama Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin perlu 'bermusuh' sesama sendiri buat seketika apabila bersaing di kejohanan menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

'Permusuhan' ini terjadi apabila kedua-dua badang negara itu bersaing dalam kategori sama iaitu 61 kilogram (kg) dan mengikut peraturan, hanya satu slot kelayakan daripada setiap kategori dan negara disediakan ke Paris.

Menurut Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Amirul Hamizan Ibrahim, mereka tidak akan membuat keputusan berat sebelah kepada kedua-dua atlet itu dan masing-masing harus menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan yang menawarkan mata ke Paris 2024.

"Kita mempunyai tiga kejohanan menawarkan mata iaitu di Korea Selatan, Cuba dan Arab Saudi. Mungkin atlet akan memberikan fokus kepada ketiga-tiga atau dua kejohanan kerana dua daripadanya adalah wajib iaitu di Thailand dan Arab Saudi," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Ujar Amirul, Aniq dan Aznil mesti menyertai kejohanan wajib itu dan berada dalam ranking 14 terbaik untuk kedua-dua kejohanan.

"Namun kita tak tahu sama ada Aznil atau Aniq kerana mereka dalam kategori sama. Jadi masing-masing kena tunjukkan prestasi terbaik dan siapa yang terbaik, maka dia akan pergi.

"Kita tak boleh berat sebelah kepada sesiapa, baik Aznil atau Aniq kerana mereka bersaing dalam kategori sama, berlawan sesama sendiri dan terserah, siapa yang menunjukkan prestasi, maka dia yang akan pergi (Paris)," katanya yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Menurutnya, acara 55kg yang sebelum ini disertai Aniq tidak dipertandingkan di Olimpik, sekali gus memaksa atlet kelahiran Johor itu menambahkan berat badannya.

"Jadi dia sudah menaikkan berat badan dan menyertai acara sama seperti Aznil dan mereka bersaing sesama sendiri.

"Begitupun, kalau kedua-duanya melakukan yang terbaik, hanya satu saja (layak ke Olimpik), jadi kita tak boleh jangka siapa yang akan pergi ke sana," katanya.

Di Sukan Komanwel Birmingham 2022, Aniq meraih emas dalam kategori 55kg dengan angkatan 249kg mengatasi pemenang perak dari India, Sanket Mahadev Sargar (248kg), manakala wakil Sri Lanka, Dilanku Isuru Kumara meraih gangsa dengan 225kg.

Aznil pula merekodkan angkatan baharu temasya dengan 285kg untuk meraih emas dalam kategori 61kg, mengatasi atlet Papua New Guinea, Morea Baru yang melakukan angkatan 273kg dan gangsa diraih atlet Nigeria, Joseph Edidiong dengan angkatan 269kg.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 2:54 PM