MUHAMAD Aznil Bidin akan terus bersaing untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AGENSI
MUHAMAD Aznil Bidin akan terus bersaing untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AGENSI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Badang berpengalaman negara, Muhamad Aznil Bidin masih belum mengangkat bendera putih dalam usahanya untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris, Julai ini.

Biarpun berdasarkan kedudukan ranking, status terkini itu lebih memihak kepada atlet junior, Mohamad Aniq Kasdan yang kini berkedudukan ranking ketujuh berbanding dirinya yang berada di ranking ke-11, Aznil berkata, peluang untuk layak masih terbuka.

Malah dia akan tetap berjuang kerana masih ada satu lagi peluang iaitu Kejohanan Angkat Berat Dunia, kelayakan terakhir ke Paris yang akan berlangsung di Phuket bermula dari 2 hingga 11 April ini.

"Peluang masih belum tertutup. Saya masih lagi boleh mencuba melayakkan diri. Antara saya dan Aniq kami bersaing secara sihat.

"Siapa yang layak dia yang akan mewakili negara. Saya masih belum putus asa. Tiada rasa cemburu atau sebaliknya kerana semua rezeki dari Tuhan.

"Sebenarnya persaingan ini sangat bagus untuk sukan angkat berat kerana kita mempunyai ramai atlet untuk terus menyumbangkan pingat buat negara," katanya.

Kedua-dua badang itu beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) dengan Aniq kini berstatus pemegang rekod kebangsaan dengan jumlah angkatan keseluruhan 296kg yang dilakukan di Kejohanan Angkat Berat Dunia Grand Prix II, Qatar tahun lalu.

Manakala Aznil yang meraih dua pingat emas temasya Sukan Komanwel Gold Coast dan Birmingham itu memiliki catatan terbaik peribadi 290kg.

Untuk layak ke Paris, hanya 10 atlet yang berada di ranking terbaik dunia akan layak secara automatik ke temasya sukan terbesar itu.

Jika Aniq atau Aznil berjaya layak ke Paris, mereka akan menjadi atlet keempat dalam sukan itu yang pernah beraksi di temasya terbesar dunia selepas Amirul Hamizan Ibrahim 2008, Faizal Baharom (2004) dan Hafifi Mansor (2016).

Sementara itu Aznil turut berkongsi bahawa penyertaannya di Phuket adalah yang terakhir bagi kategori 61kg yang mana dia akan beralih ke kategori 67kg selepas ini.

Ia adalah keputusan yang sudah dicapai kerana akan memberi kelebihan buat negara meraih lebih banyak pingat yang di temasya Komanwel nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 1:47 PM