Syazwan Msar

Iskandar Puteri: Penangan Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) menyaksikan pelbagai barangan di gerai milik akhbar ini di Karnival Jom Heboh (KJH) di Puteri Harbour, di sini, habis terjual dalam tempoh beberapa jam saja.

Lebih 500 naskhah akhbar Harian Metro dan roti Gardenia Breakthru yang dijual di gerai AIS 'licin' menjelang tengah hari.

Ini kerana, selain orang ramai masih berminat mendapatkan maklumat menerusi akhbar, mereka teruja untuk mengundi 'top 5' ikon sukan kegemaran masing-masing.

Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) HM, Abdul Manan A Samad berkata, sepanjang tempoh dua hari gerai AIS dibuka menyaksikan ratusan pengunjung hadir untuk beramah mesra bersama atlet jemputan.

Beliau berkata, pada masa sama orang ramai teruja untuk menyertai aktiviti disediakan kerana berpeluang memenangi hadiah disediakan penganjur.

"Sambutan cukup hangat apabila orang ramai boleh bertemu dengan finalis AIS secara lebih dekat lagi kerana atlet dibawa khas ini adalah individu yang menyinar di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu orang ramai merasai kehangatan AIS yang hanya tinggal tidak sampai sebulan saja lagi sebelum kita umumkan pemenang pada 8 Januari depan.

"Malah, barangan disediakan penganjur dan penaja habis walaupun kita menyediakan dalam jumlah banyak bagi menampung permintaan ramai," katanya, ketika ditemui pada hari kedua jelajah AIS HM di KJH, hari ini.

AZIZULHASNI yang juga Duta CIMB dianugerahkan Ikon Sukan Pempengaruh pada Malam Kemuncak AISHM di Dectar, UKM, Ahad lalu. FOTO AZIAH AZMEE
AZIZULHASNI yang juga Duta CIMB dianugerahkan Ikon Sukan Pempengaruh pada Malam Kemuncak AISHM di Dectar, UKM, Ahad lalu. FOTO AZIAH AZMEE

Pada hari kedua jelajah AIS HM menyaksikan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari hadir bagi menghangatkan suasana di gerai AIS.

Mohd Al Jufferi adalah pemegang gelaran juara dunia empat kali dengan terbaru merangkul pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 yang berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Ogos lalu dan tercalon dalam kategori Ikon Sukan Lelaki Breakthru.

Antara aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung adalah sepak bola, mini badminton, kayuh dan kisar, cenderahati eksklusif, jualan dan cabutan bertuah.

Hari pertama jelajah AIS HM semalam diserikan dengan kehadiran pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli yang juga 'top 5' Ikon Sukan Harapan dan dia meluangkan lebih sejam bertemu pengunjung karnival itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 5:20 PM