Syazwan Msar

Iskandar Puteri: Kehadiran bekas pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari ke gerai Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) menggamit suasana meriah di Karnival Jom Heboh (KJH) di Puteri Harbour, di sini, hari ini.

Jufferi yang juga juara dunia empat kali pencak silat dikerumuni peminat sebaik kehadirannya 'dihidu' pengunjung karnival sebelum gerai AIS dipenuhi orang ramai.

Malah, situasi itu membuatkan Jufferi tidak ubah seperti artis popular tanah air apabila orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar selain menyertai aktiviti bersama bekas pesilat negara itu.

Jufferi yang meluangkan masa lebih sejam di gerai AIS berkata, program itu adalah platform terbaik untuknya beramah mesra dengan peminat sukan tanah air secara lebih dekat lagi.

"Saya tersenarai dalam 'top 5' AIS hasil sokongan peminat sukan tanah air dan program ini antara inisiatif yang boleh dilakukan untuk berterima kasih kepada mereka.

"Aktiviti atlet bersama peminat sukan tanah air cukup bagus kerana mereka berkorban memberikan sokongan kepada kita untuk mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui pada hari kedua program jelajah AIS sempena KJH.

AZIZULHASNI yang juga Duta CIMB dianugerahkan Ikon Sukan Pempengaruh pada Malam Kemuncak AISHM di Dectar, UKM, Ahad lalu. FOTO AZIAH AZMEE
AZIZULHASNI yang juga Duta CIMB dianugerahkan Ikon Sukan Pempengaruh pada Malam Kemuncak AISHM di Dectar, UKM, Ahad lalu. FOTO AZIAH AZMEE

Selain itu, Jufferi berkata, dia terkejut dan bersyukur apabila masih mendapat tempat di hati peminat sukan tanah air walaupun sudah bersara daripada arena silat negara, sehingga namanya tercalon dalam senarai 'top 5' Ikon Sukan Lelaki Breakthru.

"AIS adalah anugerah cukup berprestij dengan peminat sukan negara turut diberikan 'kuasa' memilih atlet yang dilihat layak dinobatkan sebagai pemenang anugerah itu.

"Oleh itu saya berharap anugerah ini dapat terus dilaksanakan setiap tahun demi mengiktiraf keringat dan sumbangan atlet kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 4:57 PM