CARRENO Busta mengucapkan tahniah kepada Cilic.
CARRENO Busta mengucapkan tahniah kepada Cilic.
AFP

Málaga, Sepanyol: Marin Cilic membawa Croatia ke separuh akhir Piala Davis selepas menewaskan juara bertahan Sepanyol yang beraksi tanpa dua pemain ranking teratas dunia, Carlos Alcaraz dan Rafael Nadal.

Pemain nombor 17 dunia, Cilic yang juga bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) bangkit menewaskan pemain ranking ke-13, Pablo Carreno Busta 5-7, 6-3, 7-6 (7/5) bagi melayakkan Croatia menentang Australia di separuh akhir.

Croatia juara kejohanan 2005 dan 2018 terlebih dahulu di depan selepas pemain ranking 26 dunia, Borna Coric mengatasi cabaran Roberto Bautista Agut 6-4, 7-6 (7/4).

Cilic, 34, yang tampil kali pertama di Piala Davis pada 2006 tewas set pertama namun bangkit pada dua set berikutnya untuk meraih kemenangan dalam aksi berlanjutan hampir tiga jam 13 minit.

Ledakan 20 acenya menggamamkan 10,000 penyokong tuan rumah bagi membantu kemaraan Croatia yang tewas kepada Rusia pada final 2021 manakala Coric melakukan 14 ace ketika mengatasi lawan yang ditewaskan sebelum menjuarai Masters Cincinnati pada musim panas lalu.

Juara 32 kali Piala Davis, AS berdepan Itali dalam satu lagi aksi suku akhir manakala Jerman menentang Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 11:59 AM