AL Jufferi (kiri) ketika menjadi tetamu pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita, 2 November lalu. FOTO Hasriyaysah Sabudin
AL Jufferi (kiri) ketika menjadi tetamu pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita, 2 November lalu. FOTO Hasriyaysah Sabudin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selama 15 tahun abadikan diri dalam dunia persilatan sudah pastinya banyak kisah suka duka membabitkan bekas pesilat negara, Al Jufferi Jamari dalam mengharungi cabaran mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Paling diingati adalah beliau berjaya muncul juara dunia untuk kali keempat selepas memenangi Kelas F pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh pada Julai lalu walaupun ketika itu menanggung kesakitan akibat kecederaan.

Atlet berasal dari Pahang itu mengambil keputusan nekad untuk berundur diri selepas beberapa kali hasratnya ditolak Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

"Saya minta Pesaka tidak pujuk saya untuk tarik balik hasrat saya. Selepas kejuaraan dunia di Melaka, saya tidak mahu berganjak dengan keputusan bersara mewakili Malaysia atau beraksi dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

"Secara rasmi, sama ada dapat atau tidak pingat emas, saya memutuskan untuk menamatkan karier sebagai pesilat negara selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia ini. Saya mahu beri lebih perhatian kepada keluarga.

"Selain itu saya perlukan rehat dan mahu menjalani kehidupan berkeluarga seperti mana orang lain jalani rutin harian mereka," katanya.

Ketika bertanding pada Sukan Sea Hanoi, pesilat berusia 30 tahun itu mendedahkan, dia 'kuat' kerana menyerap semangat anaknya yang berusia empat tahun, Furqan Al Haq, yang berjuang melawan kanser.

Mengikut rekod, beliau sebelum ini memenangi kejuaraan dunia di Chiang Rai, Thailand (2012); Phuket, Thailand (2015) dan Bali, Indonesia (2016).

Pada Sukan Sea pula, Mohd Al Jufferi merangkul empat pingat emas di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2016) dan Kuala Lumpur (2017).

Berdasarkan kepada pencapaian itu, Al Jufferi dicalonkan dalam anugerah Ikon Sukan Harian Metro bagi kategori Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 8:57 PM