Zaihan Mohd Isa ... PESAKA kini sedang memikirkan jalan terbaik bagaimana untuk meraih emas dalam acara yang dipertandingkan. FOTO Owee Ah Chun.
Zaihan Mohd Isa ... PESAKA kini sedang memikirkan jalan terbaik bagaimana untuk meraih emas dalam acara yang dipertandingkan. FOTO Owee Ah Chun.
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Hanya sembilan pingat emas dipertandingkan dalam acara silat tanding dan seni pada temasya Sukan SEA Filipina tahun ini sedikit menggusarkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Berbanding 20 emas yang ditawarkan pada edisi lalu ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah, nyata perkara itu memerlukan percaturan teliti PESAKA.

Pengurangan acara itu juga menjejaskan kategori dua juara dunia negara Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir dalam kategori kelas E, 65-70 kilogram.

Naib Presiden III, Zaihan Mohd Isa yang juga pengerusi jawatankuasa pemilihan dan persediaan atlet berkata, PESAKA kini sedang memikirkan jalan terbaik bagaimana untuk meraih emas dalam acara yang dipertandingkan.

“Setakat ini kami belum memikirkan sama ada akan menurunkan kategori Jufferi dan Siti Rahmah tapi PESAKA akan cuba mencari jalan terbaik buat mereka.

“Manakala bagi kategori yang dipertandingkan, latihan perlu dipertingkatkan dan diberi lebih penekanan supaya atlet dapat memberi yang terbaik untuk negara,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN).

Untuk rekod acara tanding Sukan SEA Filipina mempertandingkan kelas A (45-50kg) lelaki dan wanita, kelas B (50-55kg) lelaki dan wanita serta kelas D (60-65kg) lelaki.

Manakala silat seni menawarkan empat emas membabitkan acara tunggal lelaki, ganda lelaki, tunggal wanita dan trio lelaki.

Susulan perkembangan itu, Zaihan berkata, tiada sasaran dapat ditentukan ketika ini kerana tidak berani menabur janji ekoran bimbang ia tidak dapat dipenuhi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 6:47 PM