NUR AIMAN (kanan) bersama atlet kebangsaan,  Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (tengah) Mohd Al Jufferi Jamari (kiri) pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita. FOTO Hasriyaysah Sabudin
NUR AIMAN (kanan) bersama atlet kebangsaan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (tengah) Mohd Al Jufferi Jamari (kiri) pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Anugerah Ikon Sukan Harian Metro di Balai Berita. FOTO Hasriyaysah Sabudin
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tahun 2022 boleh dianggap paling cemerlang dalam karier Muhammad Nur Aiman Zariff kerana berjaya membantu pasukannya Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan.

Selepas menyumbang emas dalam acara lebuh raya Sukan Sea Hanoi 2022, pelumba berusia 25 tahun itu berjaya menduduki tempat kedua sebanyak dua kali di Tour Iran.

Kemuncak pencapaiannya ialah berjaya mempertahankan jersi merah (Raja Bukit) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 selepas kali pertama meraihnya pada 2020 dan ketika itu dia bersama Sapura Cycling Team (TSC).

"Saingan musim ini sudah berakhir dan sekarang adalah masanya buat semua pelumba berehat, sebelum mempersiapkan diri bagi aksi musim depan.

"Saya akan cuba untuk mencari keputusan yang baik lagi contohnya tahun depan bakal berlangsung juga Sukan Sea Kemboja 2023, jadi hasrat saya adalah untuk mempertahankan emas dalam acara lebuh raya," katanya yang turut tercalon di Anugerah Ikon Sukan (AIS) kategori Ikon Sukan Harapan.

Selepas cemerlang di rantau Asis Tenggara, naib juara keseluruhan Tour Cambodia Bay Cycling 2020 itu berhasrat untuk memahat namanya dalam saingan di Eropah.

"Jadi fokus saya sekarang adalah untuk saingan tahun depan, banyak perlumbaan besar yang bakal kami hadapi termasuk di Eropah. Saya mahu mencatat kejayaan di benua berkenaan selepas ini.

"Kalau kita lihat LTdL 2022 ramai jaguh Eropah datang tapi saya masih mampu lagi bersaing untuk mendapat keputusan terbaik, jadi apa salahnya saya cuba beri saingan kepada mereka di tempat mereka," kata pelumba kelahiran Marang, Terengganu itu.

Di Sukan Sea Hanoi Mei lalu Aiman melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 48 minit 22 saat, mengatasi pencabarnya dari Indonesia Aiman Cahya di tempat kedua dan pelumba Thailand Navuti Liphongyu di tempat ketiga.

Ketika di LTdL 2022 pula dia berjaya meraih jersi merah selepas mengumpul 29 mata untuk mengetepikan rakan sepasukan Jambaljamts Sainbayar.

Walaupun Sainbayar turut memungut 29 mata namun Aiman berada di tangga teratas selepas kerap menjadi pelumba pertama tiba terlebih dulu di zon pendakian ketika perlumbaan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 5:54 PM