MCILROY harap pemain golf lelaki kembali bersatu. FOTO Agensi
MCILROY harap pemain golf lelaki kembali bersatu. FOTO Agensi
AFP

London: Rory McIlroy percaya golf profesional lelaki masih boleh menjadi 'padu semula' selepas terjejas akibat perselisihan antara Jelajah Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang mantap bersama Siri LIV.

LIV yang disokong Arab Saudi menyebabkan kekacauan sejak penampilan sulungnya pada Jun, dengan hadiah kemenangan dan jaminan kewangan memikat beberapa pemain terkemuka keluar dari Jelajah PGA AS.

Dustin Johnson, Cameron Smith, Patrick Reed, Bryson DeChambeau, Bubba Watson, Sergio Garcia dan Phil Mickelson adalah antara pemain yang menyertai LIV.

Jelajah PGA memberi mereka larangan selama-lamanya, dengan LIV dan beberapa pemain terbabit pula memfailkan tuntutan undang-undang anti-amanah sebagai tindak balas.

McIlroy, pemain nombor dua dunia, sangat kritikal terhadap kesan LIV terhadap golf.

Bagaimanapun, pemain Ireland Utara itu, yang juga juara empat kali kejuaraan utama, percaya akan ada jalan keluar mengenai perkara berkenaan.

"Sekarang dengan dua tindakan undang-undang yang sedang berlaku, saya fikir kita hanya perlu membiarkannya reda sedikit.

"Ia adalah tahun yang buruk tetapi ada penyelesaian untuk segala-galanya. Jika kita boleh menghantar roket ke bulan dan membawanya kembali dan mendarat sendiri, saya pasti kita boleh memikirkan cara untuk menjadikan golf profesional bersatu semula," kata pemain berusia 33 tahun itu kepada BBC di St Andrews menjelang Kejohanan Alfred Dunhill Links

Minggu ini akan menyaksikan penampilan pertama McIlroy di Old Course di St Andrews sejak Julai, apabila dia hampir memenangi Terbuka British.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 11:41 AM