AFP

Miami, AS: Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy yang berusaha bangkit selepas terlepas ‘cut’ kejohanan Jelajah PGA AS minggu lalu, lebih yakin menjelang Kejohanan Golf Dunia di Doral minggu ini.

Pemain Ireland Utara berusia 25 tahun itu meraih semula keyakinan selepas berlatih menjelang Kejohanan Cadillac-WGC dan menang pertandingan Pro-Member di Kelab Golf Seminole, Isnin lalu apabila dia mencatat 63.

“Ia menggambarkan permainan saya sudah kembali,” kata McIlroy mengenai kemenangan di samping rakan sepermainan, John Pinkman di kelab yang menjadi medan latihannya seminggu sekali ketika remaja.

“Seronok melihat nama saya di puncak senarai,” ujar McIlroy selepas bermula dengan tiga birdie menentang pemain bertaraf dunia.

McIlroy mencatat 73 dan 74 untuk berakhir dengan tujuh atas par di PGA National minggu lalu sekali gus terlepas ‘cut’ kejohanan Klasik Honda, tidak gembira aksinya dalam cuaca berangin bagi penampilan sulung dalam Jelajah PGA AS musim ini.

“Saya agak bergelut sedikit dalam cuaca berangin minggu lalu, tapi sudah memperbaikinya,” kata McIlroy menyentuh latihan dan kejayaannya di Seminole.

“Beberapa hari terakhir agak produktif. Saya berada di tempat yang lebih bagus berbanding seminggu lalu.”

McIlroy yang menang di Dubai bulan lalu, turut hadir di PGA National selepas bercuti tiga minggu.

“Ada sesuatu yang kurang mantap dan saya bekerja keras memperbaikinya dan berharap ia tidak berulang minggu ini,” jelas McIlroy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:32 AM