SHUKRI (tengah) bergambar bersama atlet negeri itu ketika Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2023. FOTO AIZAT SHARIF
SHUKRI (tengah) bergambar bersama atlet negeri itu ketika Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2023. FOTO AIZAT SHARIF
Aizat Sharif


Kangar: Perlis meletakkan pungutan 10 pingat emas sebagai sasaran negeri itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 yang bakal berlangsung di Sarawak pada Ogos hadapan.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri melihat sasaran berkenaan adalah realistik berdasarkan pencapaian semasa atlet negeri itu yang tampil pada kejohanan peringkat kebangsaan sebelum ini.

"Secara peribadinya saya mahukan 11 emas untuk dibawa pulang namun kita (kerajaan negeri) meletakkan sasaran sekitar 10 emas untuk diraih oleh atlet kita di mana prospek emas itu dapat dilihat menerusi sukan seperti silat, taekwando, berbasikal, petanque, boling padang dan beberapa lagi sukan lain.

"Dalam masa yang sama trek balapan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar sudah pun siap dan dijangka dapat digunakan oleh atlet olahraga negeri ini dalam masa terdekat sebagai persiapan untuk mereka menghadapi Sukma nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2023 dan Pelancaran Road To Sukma dan Para Sukma ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Warisan, di sini semalam.

Katanya, selain daripada acara berkenaan, pihaknya melihat sukan golf juga sebagai acara yang berpotensi untuk menghadirkan pingat dalam temasya itu nanti.

"Yang saya nampak sukan golf memang mampu untuk sumbang pingat, tapi warna apa itu kita belum tau (tahu).

"Saya harapkan atlet dapat memecah rekod dan bersemangat bagi mengharumkan nama negeri ini pada temasya berkenaan.

"Kita lihat semangat yang ada pada atlet itu sendiri sangat memberangsangkan dalam mewakili negeri kerana itu yang kita tanamkan pada atlet ini menerusi sokongan dan dorongan sedia ada supaya jati diri atlet ini wujud disebabkan sayangkan Perlis sebagai negeri tanah tumpah darah mereka," katanya.

Kontinjen Perlis akan disertai seramai 555 orang terdiri daripada 374 orang atlet, 29 orang pengurus, 83 orang pegawai dan 67 urus setia dan atlet ini bakal mengambil bahagian dalam 29 jenis sukan pada temasya SUKMA itu nanti.

Pada edisi Sukma 2022 di Kuala Lumpur, Perlis mendapat tempat ke-13 daripada 15 pasukan negeri dan negara yang mengambil bahagian dengan mendapat enam pingat emas, tujuh pingat perak dan 10 pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 4:37 PM