AZFAR gigih menjalani latihan di rumah.
AZFAR gigih menjalani latihan di rumah.
Malik Muhamad


BADANG Terengganu, Muhammad Azfar Kamaruddin mahu melupakan episod hitam melanda dirinya dua tahun lalu dan tekad membuka 'buku' baharu dalam pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor pada Mac tahun depan.

Atlet berusia 20 tahun dari kampung Padang Nenas, Kuala Nerus itu berazam menghadiahkan kilauan pingat emas buat kontinjen negeri pada temasya dwitahunan itu selepas gagal melakukannya dalam dua edisi terdahulu.

Pada 2018, atlet harapan Terengganu itu digantung lapan bulan oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kerana didapati bersalah apabila gagal ujian doping selepas didapati mengambil bahan terlarang, methylexanamine ketika temasya Sukma edisi ke-19 di Perak sekali gus menyaksikan pingat perak dan gangsa diraih atlet itu ditarik balik.

"Saya sudahpun melupakan tragedi malang itu yang sekali gus menyebabkan dua pingat diperolehi hasil titik peluh bertarung dalam kejohanan itu ditarik balik penganjur.

"Insiden itu betul-betul menyedarkan saya dan selepas ini perlu lebih berhati-hati mengenai pengambilan pemakanan. Saya sebenarnya tidak menyangka terlibat, lagipun tiada niat langsung mengambil produk mengandungi bahan terlarang itu.

"Justeru saya mahu buktikan penyertaan saya tahun depan adalah pelaburan berbaloi lebih-lebih lagi kejohanan itu yang terakhir kerana sudah melepasi tahap umur.

"Selain itu saya turut berharap insiden malang itu tidak akan berulang lagi selepas ini kerana sasaran saya selain emas adalah untuk memecah rekod kejohanan kategori 81 kilogram (kg) milik Loro Welkinson dengan angkatan 304 kg," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:11 PM