SKUAD wushu Melaka merangkul dua pingat emas dan satu gangsa, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI MELAKA
SKUAD wushu Melaka merangkul dua pingat emas dan satu gangsa, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI MELAKA
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kem wushu Melaka melaungkan amaran sebagai antara pencabar utama dalam sukan itu apabila membolot dua pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022, hari ini.

Dalam acara di Gimnasium 2 Majlis Sukan Malaysia (MSN) di Bukit Jalil itu, wakil Melaka, Bryan Ti memikat juri dengan pergerakan tangkasnya untuk membawa pulang emas bagi acara Nanquan lelaki akhir.

Bryan mengumpul 9.59 mata keseluruhan manakala pingat perak menjadi milik peserta Johor, Chan Shi Weng selepas mengutip 9.57 mata.

Seorang lagi wakil Melaka, James Kiew Jian Chen menghadiahkan pingat gangsa selepas merekodkan 9.56 mata.

Sementara itu, atlet wanita Melaka, Sydney Chin Sy Xuan memastikan pingat emas dalam acara Taijijian selepas mengumpul mata keseluruhan 9.643.

Aksi cemerlang Sydney itu menidakkan pencabarnya dari Selangor, Mandy Cebelle Chen yang memenangi perak selepas mengutip 9.62 mata, manakala gangsa menjadi milik atlet Sarawak, Yong Arifah Khairul Kok apabila memperoleh 9.583 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 6:37 PM