SYAQIERA terima syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa penganjur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SYAQIERA terima syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa penganjur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Statusnya sebagai Olimpian menghalang pemanah negara Syaqiera Mashayikh untuk membuat penampilan terakhir di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur yang akan bermula dari 16 hingga 24 September ini.

Syaqiera berkata, dia perlu menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka dan menegaskan perkara itu tidak akan menghalang dirinya yang kini sedang berjuang untuk kembali dalam program podium namun dengan syarat dia perlu melepasi tapisan pemilihan yang ditetapkan pada bulan November, Oktober dan Disember.

"Kalau nak ikutkan memang saya kecewa sebab ini Sukma terakhir saya. Sukma sepatutnya di Johor pada 2020 tapi ia dibatalkan dan saya tak dapat nak sertai temasya itu.

"Bila ia dibatalkan dan saya pula layak ke Olimpik jadi peluang saya untuk beraksi di Sukma sudah tertutup.

"Saya kena terima sebab itu syarat yang ditetapkan oleh jawatankuasa penganjur iaitu mana-mana atlet yang beraksi di Olimpik tidak dibenarkan menyertai Sukma," katanya.

Syaqiera, 22, yang layak beraksi di temasya Olimpik Tokyo itu sepatutnya bersama pasukan Johor sekiranya temasya Sukma berlangsung di negeri Selatan tanah air itu dua tahun lalu namun ia ditangguhkan sehingga 2024 kerana penularan jangkitan Covid-19.

Pihak persatuan bagaimanapun turut mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pertandingan namun ditolak.

Begitupun Syaqiera berharap biarpun tanpa kehadirannya, skuad memanah Johor akan dapat melakukan yang terbaik dan membawa pulang pingat di Sukma nanti.

Terdahulu Syaqiera beraksi cemerlang apabila meraih empat emas di temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) selain turut menyumbangkan satu emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 2:12 PM