AKSI Syaqiera hari ini. FOTO FB Majlis Sukan Negara
AKSI Syaqiera hari ini. FOTO FB Majlis Sukan Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Impian atlet memanah recurve wanita negara, Syaqiera Mashayikh untuk sekurang-kurangnya melangkah lebih jauh dalam saingan individu tidak kesampaian selepas tumpas di pusingan pertama kepada wakil dari Russia, Elena Osipova 4-6 di Lapangan Memanah Yumenoshima Park hari ini.

Bagaimanapun, pemanah kelahiran Segamat, Johor itu berjaya bermula dengan cemerlang mendahului 2-0 pada set pertama selepas mengumpul 26 mata, manakala lawannya yang berusia 28 tahun meraih 25 mata.

Set kedua menyaksikan Elena berjaya menyamakan kedudukan selepas meraih 28 mata, manakala Syaqiera sekadar memungut 26 mata.

Aksi di set ketiga dan keempat berlangsung sengit dengan Syaqiera berjaya mengekori mata yang dicatatkan Elena selepas masing-masing mengumpul 26 (set ketiga) dan 25 mata (set keempat).

Mungkin disebabkan kali pertama beraksi di pentas Olimpik, Syaqiera dilihat agak gugup di set penentuan dan tangan kirinya juga kelihatan sedikit bergoyang.

Pujian harus diberikan kepada Syaqiera yang berusia 20 tahun apabila mencatat rekod peribadi terbaik pada pusingan penentuan ranking Jumaat lalu.

Dia ketika itu menamatkan kedudukan di tempat ke-43 daripada keseluruhan 64 peserta dengan berjaya memperoleh 630 mata sekali gus memperbaiki rekod 619 mata yang dilakukan pada kelayakan terakhir Olimpik di Paris, Jun lalu.

Syaqiera adalah pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Seorang lagi pemenah negara, Khairul Anuar Mohamad akan turun beraksi esok di pusingan pertama recurve individu lelaki dan dia akan berdepan wakil dari Finland, Antti Vikstrom.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 2:45 PM