PEMANAH negara, Syaqiera Mashayikh cacat rekod peribadi acara recurve individu wanita di Olimpik Tokyo, hari ini. FOTO Arkib NSTP
PEMANAH negara, Syaqiera Mashayikh cacat rekod peribadi acara recurve individu wanita di Olimpik Tokyo, hari ini. FOTO Arkib NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh membuktikan pemilihannya ke temasya Olimpik Tokyo 2020 adalah tepat apabila memulakan saingan hari pertama dengan kejayaan mencatatkan rekod peribadi 630 mata, hari ini.

Syaqiera melakukan catatan itu pada pusingan penentuan ranking dalam acara recurve individu wanita dan menamatkan saingan di kedudukan ke-64 keseluruhan.

Pada aksi berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park di Tokyo, Syaqiera, 20, memperbaiki pencapaian terbaiknya sebelum ini iaitu 619 mata ketika beraksi di kelayakan terakhir Olimpik di Paris, Jun lalu.

Ia adalah catatan terbaik pernah dilakukan pemanah wanita negara dalam sejarah Olimpik apabila mengatasi pencapaian Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata pada 2004.

Syaqiera akan turun bertemu pemanah Russia, Elena Osipova pada pusingan pertama, Selasa ini.

Dalam saingan hari ini, pemanah wanita Korea Selatan, An San berada di landasan terbaik untuk meraih emas apabila memecahkan rekod Olimpik selepas mengumpul 680 mata untuk memadam rekod 673 mata dicatat pemanah Ukraine, Lina Herasymenko pada Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu adalah pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 4:12 PM