PASUKAN Young Turtles muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO MALIK MUHAMAD
PASUKAN Young Turtles muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Young Turtles muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar (MB) Terengganu selepas berjaya menumpaskan pasukan Hanelang A dengan keputusan 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam.

Regu Young Turtles yang dibarisi Irsyad Faiz Aziz (tekong), Noraizat Nordin (apit kanan) dan Shohibul Fadillah Abd Salam (apit kiri), tidak berdepan masalah menundukkan regu lawan yang dibarisi Aidil Haikal Ghani (tekong), Hasmadi Wahab (apit kanan) dan Alif Mursyrid Rosli (apit kanan) dengan straight set, 21-13 dan 21-9.

Lebih manis Irsyad Faiz dan Noraizat masing-masing dinobatkan sebagai tekong dan apit kanan terbaik manakala apit kiri terbaik menjadi milik pemain Hanelang A, Hasmadi.

Dengan kemenangan itu, regu Young Turtles membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 manakala Hanelang A berpuas hati dengan meraih RM3,000 yang disempurnakan Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Nasir Razak.

Kapten Young Turtles, Shohibul Fadillah berkata, skuadnya terpaksa melalui perlawanan yang agak sukar untuk memburu tempat ke final kerana persaingan begitu sengit.

"Perjalanan untuk merakam kemenangan sehingga ke final agak sukar walaupun saya pernah beraksi bersama rakan sepasukan kerana pasukan lawan yang ditemui juga tidak kurang hebatnya.

"Tapi dengan kerjasama rakan sepasukan serta keazaman yang tinggi kerana kami datang untuk merangkul kejuaraan, ianya menjadi senjata utama kejayaan kami dalam saingan Piala MB ini.

"Saya harap kejayaan ini mampu memberikan keyakinan kepada kami untuk menyertai kejohanan lain pada masa akan datang," kata Shohibul Fadillah ketika ditemui selepas berakhir perlawanan petang semalam.

Sementara itu bagi kategori Piala Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, pasukan RK Timur muncul juara menumpaskan pasukan KHK Internity dengan keputusan 2-0.

Tekong dan apit kiri terbaik Piala Ecxo masing-masing menjadi milik pemain RK Timur, Muhamad Nazreen Azrai dan Muhamad Syazwan Shadam manakala apit kiri terbaik menjadi milik pemain KHK Internity, Muhamad Ghadafi Mohd.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 6:42 PM