NURUL Alya juara 5000m jalan kaki wanita.
NURUL Alya juara 5000m jalan kaki wanita.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Universiti Putra Malaysia bermula cemerlang di arena trek dan balapan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila berjaya meraih pingat emas pertama.

Ia disumbangkan Nurul Alyahaziqah Kamarazaman menerusi acara 5000 meter jalan kaki wanita selepas menamatkan saingan dengan catatan masa 28 minit, empat saat.

Pingat perak milit atlet Universiti Sunway, Prithi Davina Ponraj dengan catatan 39 minit, enam saat dan atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Ilyana Hazmi melengkapkan podium di tempat ketiga.

Alya muncul juara selepas pendahulu acara itu, Nurul Ashikin Hussin dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dibatalkan penyertaannya kerana melakukan kesalahan.

"Alhamdulillah, ini rezeki saya menyumbang emas buat UPM pada penampilan pertama saya di SUKIPT.

"Sebenarnya saya tak jangka boleh menang acara ini kerana ia bukan acara kegemaran saya. Malah saya juga agak ketinggalan pada awal perlumbaan ini.

"Bagaimanapun rezeki saya apabila, pendahulu dalam perlumbaan ini dibatalkan penyertaan kerana melakukan kesalahan berulang kali," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Dalam masa sama atlet berusia 24 tahun itu juga menitipkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

"Alhamdulillah di atas kemenangan hari ini saya bersyukur kepada Allah, keluarga, jurulatih, rakan-rakan serta UPM kerana memberi saya peluang mengambil bahagian dalam acara ini dan tidak putus memberi sokongan kepada saya."

Selain itu emas kedua UPM hadir menerusi acara lontar peluru wanita apabila atletnya, Nani Sahirah Maryata mengesahkan kemenangannya di tempat pertama dengan lontaran sejauh 13.2 meter (m).

Perak acara itu dimenangi atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurdini Shahira Abdullah yang membuat lontaran sejauh 11.1m dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Betty Hoong King Ching (10.6m).

Nani berkata, dia mahu menambah baik jarak lontarannya bagi melayakkan diri untuk menyertai temasya Sukan Sea Kemboja yang dijadual berlangsung pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 6:12 PM