R KIRTHANA
R KIRTHANA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh negara, R Kirthana menepati ramalan dengan merangkul emas acara lompat jauh Kejohanan Olahraga Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

Kirthana yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar lompatan emas 5.52 meter (m) manakala perak milik pelajar Universiti Malaysia Sabah, Ji Fedalliah Claritta Jaimin (5.34m) dan gangsa dimenangi Sonisa Sangthong dari Universiti Suratthani Rajabhat menerusi jarak 5.11m.

Namun, ia bukanlah acara kegemaran atlet kebangsaan itu yang sebelum ini lebih fokus kepada lompat kijang.

Kirthana yang pernah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Poland dua tahun lalu berkata, dia tidak berpuas hati dengan pencapaiannya biarpun berjaya menyumbangkan emas kepada UPM.

“Penyertaan saya di SUKIPT dalam acara lompat jauh hanya menggantikan tempat rakan saya tapi sekurang-kurangnya saya cuba untuk memperbaiki kelemahan dari segi corak larian.

“Saya tahu bahawa saya boleh buat lebih baik kerana sebelum ini pernah melakukan 5.96m,” katanya yang akan berlepas ke Jakarta, Jumaat ini untuk beraksi di Kejohanan Pra Sukan Asia.

Sementara itu, acara lompat tinggi wanita turut dikuasai atlet kebangsaan, Norliyana Kamaruddin dari UPM dengan catatan 1.65m sambil Chia Lee Mei dari Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman memenangi perak (1.55m) manakala Nurizah Abdullah (Politeknik Malaysia - 1.45m) membawa pulang gangsa.

Acara 5,000m lelaki dimenangi Teoh Kim Ling dari Politeknik Malaysia (PM) dengan catatan 20 minit 11.14s diikuti S Priyashankari (UPM) dan G Shantini (PM).

Dalam acara lontar peluru lelaki, emas dimenangi Muhammad Aidil Taufek (UPN-14.38m) diikuti R Meveeqhen (UTP-13.67m) dan Zulkifli Saidin (Kolej Komuniti Malaysia-13.43m).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 8:59 AM