Nazri Abu Bakar


Melaka: Persembahan menyakinkan Johor membantu pasukan terbabit menewaskan Melaka 2-0 pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Bukit Serindit petang tadi.

Gandingan regu pelawat membabitkan Mohd Haziq Hairul Nizam (tekong) bersama Farhan Adam (apit kiri) dan Mohd Noraizat Mohd Nordin (kanan) bagaimanapun dicabar hebat pemain Melaka pada set pertama.

Namun pelawat unggul mengatasi tuan rumah yang diwakili pemain kebangsaan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohd Muqlis Borhan dan Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dengan keputusan 21-17 bagi kelebihan moral untuk kembali berentap di set kedua.

Melaka yang cuba bangkit untuk meraih kemenangan di set kedua bagi mengheret penentuan ke set ketiga bagaimanapun tidak merencat dan mematahkan api perjuangan Johor untuk mendahului lawan sejak awal babak biarpun pelbagai strategi dicipta tuan rumah.

Namun, menyedari situasi getir Melaka yang ketinggalan mendorong skuad terbabit memasukkan import dari Thailand Loesak Kuram bagi menggantikan Mohd Khairul namun pelawat terus mendahului sehingga 18-13 buat satu ketika.

Kesungguhan Melaka dengan sorakan padu penyokong setia untuk bangkit dan merapatkan kedudukan serta memintas lawan bagaimanapun tidak kesampaian selepas Johor terus unggul dengan kemenangan 21-18.

Sebagai juara Johor meraih RM10,000 bersama piala pusingan dan iringan sementara Melaka membawa pulang RM5,000 dan piala iringan diikuti tempat ketiga bersama milik Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan masing-masing meraih RM3,000.

Tekong terbaik pula menjadi milik Mohd Haziq Hairul Nizam (Johor), diikuti apit kanan terbaik Mohd Noraizat Mohd Nordin juga dari Johor dan apit kiri terbaik diraih pemain Melaka Mohd Muqlis Borhan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

PASUKAN Johor ceria selepas menjuarai Piala Tun Ali. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PASUKAN Johor ceria selepas menjuarai Piala Tun Ali. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Hadir sama Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Bagi jurulatih, Johor Ahmad Jais Baharun berkata, dia gembira dengan kejayaan berkenaan terutama diatas komitmen tinggi pemain, pegawai pasukan dan persatuan untuk muncul juara sulung kejohanan.

"Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya fokus dan beraksi pada tahap maksimum kerana menyedari tekanan hebat dari pemain lawan dan penyokong tuan rumah.

"Selepas ini pemain berehat dalam tempoh seminggu atau dua minggu sebelum memulakan latihan dan mempersiapkan pasukan bagi kejohanan lain termasuk Piala Emas Khir Johari (November) dan STL yang dijangka pada awal tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, Perak pula turut menghampakan Melaka 2-1 pada saingan beregu walaupun tewas 19-21 pada babak pertama namun bangkit mengatasi Melaka 21-13 dan 21-13 pada set kedua dan ketiga aksi.

Kemenangan Perak membolehkan mereka meraih RM8,000 bersama piala iringan sementara tuan rumah membawa pulang hadiah RM4,000 dengan piala iringan sementara tempat ketiga bersama pula milik ATM dan Kuala Lumpur dengan masing-masing turut meraih RM2,000.

Penganjuran sulung terbabit meletakkan Melaka sebagai pusat pembangunan sukan sepak takraw yang efektif dan produktif, selain mempromosikan negeri itu sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan.

Malah kehadiran luar biasa penyokong termasuk penyokong Johor jelas menjadi nadi kejayaan penganjuran terbabit selain sokongan padu kerajaan negeri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 7:59 PM