BASIKAL pelumba terpelanting ke tempat duduk penonton. -FOTO AP
BASIKAL pelumba terpelanting ke tempat duduk penonton. -FOTO AP
Reuters

Birmingham: Tiga pelumba basikal trek dibawa ke hospital selepas mengalami kemalangan serius dalam perlumbaan kelayakan kedua acara scracth lelaki di temasya Komanwel Birmingham 2022 semalam.

Baki perlumbaan pada sesi pagi semalam juga terpaksa dibatalkan dan penonton diminta meninggalkan velodrom selepas pelumba dari England, Matt Walls dan pelumba dari Isle of Man, Matt Bostock turut sama terbabit dalam kemalangan itu.

Walls terbabas lalu merempuh penonton di pusat Lee Valley VeloPark. Pelumba berusia 24 tahun itu menerima rawatan selama lebih 40 minit sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans.

Beberapa penonton juga tercedera selepas basikal milik Walls terpelanting melepasi penghadang di sudut trek.

"Susulan kemalangan pada sesi pagi berbasikal trek dan trek para di Lee Valley VeloPark, tiga pelumba dan dua penonton dirawat oleh pasukan perubatan.

"Tiga pelumba basikal dibawa ke hospital manakala kedua-dua penonton itu tidak memerlukan rawatan di hospital," kata jurucakap Sukan Komanwel Birmingham 2022 dalam satu kenyataan.

Perlumbaan di velodrome itu kemudiannya disambung dengan peringkat suku akhir acara pecut lelaki.

Terdahulu, Walls terlanggar pelumba lain ketika cuba mengelak daripada terbabit dalam rempuhan awal di selekoh itu lalu hilang kawalan dalam kelajuan tinggi.

Walls memerlukan beberapa jahitan di dahi namun pasukan berbasikal England itu tetap lega apabila tiada sebarang kecederaan teruk yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 2:00 PM