PELUMBA England, Joe Truman dibawa diberikan bantuan oksigen dan dibawa dengan kerusi roda selepas terbabit kemalangan. FOTO REUTERS
PELUMBA England, Joe Truman dibawa diberikan bantuan oksigen dan dibawa dengan kerusi roda selepas terbabit kemalangan. FOTO REUTERS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek England, Joe Truman tidak sedarkan diri dan dipercayai mengalami patah tulang selangka selepas terbabit kemalangan ngeri di Velodrom Lee Valley VeloPark, malam tadi.

Insiden itu menyaksikan Truman, 25, terpaksa diberikan bantuan oksigen dan menggunakan kerusi roda selepas berlanggar dengan pelumba Australia, Matt Glaetzer dalam pusingan repechages bagi acara keirin lelaki pada hari kedua Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pelumba itu diberikan rawatan segera oleh pasukan perubatan di trek dan sebaik sedarkan diri, dia dibawa dengan kerusi roda untuk mendapatkan rawatan susulan.

Dia memerlukan tangki oksigen bagi membantu pernafasannya dan kemudian dilihat menggunakan kerusi roda ketika pasukan perubatan membawanya ke hospital berdekatan dengan venue pertandingan.

Truman berada di tempat salah pada masa salah di pusingan terakhir dan tidak mempunyai tempat untuk mengelak apabila juara bertahan dua kali Glaetzer jatuh di hadapannya.

Sementara itu, rakan sepasukan Truman, Sophie Unwin menerima permohonan maaf daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), tetapi tetap tidak akan dihadiahkan pingat gangsa selepas mengakhiri saingan di tempat ketiga dalam acara pecut tandem wanita B, kelmarin.

Unwin mengalirkan air mata selepas dia dan jurumudinya, Georgia Hall mengatasi pelumba Scotland, Libby Clegg bersama jurumudinya, Jenny Holl tetapi kemudiannya diberitahu yang mereka tidak akan diberikan gangsa berdasarkan peraturan pertandingan yang apabila hanya empat pasukan mengambil bahagian.

Perlumbaan itu pada awalnya dikategorikan sebagai aksi penentuan gangsa dan keputusan rasmi menyaksikan Unwin diiktiraf sebagai pemenang pingat.

Pasangan itu cuba untuk berdiri di belakang podium bersama bendera England sebelum diarahkan untuk beralih oleh pegawai keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 1:41 PM