Amirullah Andi Nur

Birmingham: "Alhamdulillah. Syukur dan saya rasa happy (gembira) dapat memenangi pingat ini (emas) sekali gus mempertahankan kejuaraan di Gold Coast, Australia empat tahun lalu,".

Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin berkata demikian sejurus selepas muncul juara kategori 61 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel 2022 di sini, semalam.

Kemenangan itu membolehkan dia menjadi atlet kedua negara memenangi pingat emas selepas rakan sepasukannya, Mohamad Aniq Kasdan menerusi acara 55kg pada saingan di National Exhibition Center (NEC) Birmingham di sini.

Aznil merangkul pingat kejuaraan selepas berjaya mengumpulkan angkatan sebanyak 285kg menerusi acara snatch dan clean & jerk.

Pingat perak dimenangi wakil Papua New Guinea, Morea Baru yang menghimpunkan 273kg manakala gangsa milik atlet India, Gururaja Gururaja.

Beliau turut mengakui sebelum turun mempertahankan kejuaraannya itu, dia berasa tenang dan rileks selepas mendapat motivasi daripada jurulatihnya, Yon Haryono.

"Tiada tekanan, malah semangat saya tinggi untuk tampil pada pertandingan ini. Jurulatih juga minta saya supaya membuat angkatan lebih ketika sesi pemanas badan selain membuat lawak sebelum memulakan saingan.

"Bukan mudah nak pertahankan pingat emas. Perlu mental kuat, jaga pemakanan, rehat yang cukup dan sentiasa mendengar apa yang jurulatih beritahu," katanya bahawa kejayaan di temasya kali ini menjadi motivasi kepadanya untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

ERRY meraih pingat perak pertama negara di temasya Komanwel Birmingham dalam acara angkat berat. -FOTO AP
ERRY meraih pingat perak pertama negara di temasya Komanwel Birmingham dalam acara angkat berat. -FOTO AP

Sambil mendedikasikan kejayaannya itu kepada negara dan keluarganya di Malaysia, Aznil berkata dia juga tidak berasa tertekan selepas Aniq lebih dulu memenangi pingat emas.

Pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast menyaksikan sukan angkat berat membawa pulang tiga pingat iatu dua emas menerusi Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (55kg) dan Aznil (61 kg) manakala satu perak pula disumbangkan Muhamad Fazrul Azrie Mohd dalam kategori 85 kg.

"Saya teringat di Gold Coast empat tahun lalu, apabila Wafie lebih dulu menang emas, kami semua gembira dan tiada perasaan tertekan. Dia kelihatan yakin ketika memenangi emas itu dan kami berasa demikian. Kami sama-sama latihan, sama-sama sakit dan sama-sama berusaha melakukan yang terbaik.

"Akhirnya, saya juga dapat memenangi emas selepas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 5:51 AM