PASUKAN angkat berat negara yang sudah tiba di Birmingham. FOTO Ihsan Facebook Aznil Bidin
PASUKAN angkat berat negara yang sudah tiba di Birmingham. FOTO Ihsan Facebook Aznil Bidin
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Atlet angkat berat negara akan memulakan cabaran pada Sukan Komanwel 2022 Sabtu ini membabitkan tiga atlet termasuk seorang wanita.

Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan masing-masing akan bersaing bagi kategori 61 kilogram (kg) dan 55kg manakala Elly Cascandra Engelbert bagi kategori 55kg.

Selain Aznil dan Aniq, cabaran bagi sukan angkat berat negara pada temasya Sukan Komanwel kali ini turut dipikulMuhammad Erry Hidayat bagi kategori 73kg, Mohamad Nasir Roslan (81kg) dan Muhammad Hafiz Shamsuddin (109kg).

Seorang lagi atlet wanita adalah Marceeta Marlyne bagi kategori 59kg. Pada 17 Jun lalu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dilaporkan meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu emas dan dua perak pada temasya Sukan Komanwel 2022.

Prospek emas itu adalah membabitkan Aznil yang dilihat ketika ini berada di kemuncak prestasi manakala dua perak pula ada menerusi Aniq dan Erry.

Pengurus pasukan negara, Amirul Hamizan Ibrahim berkata semua acara itu akan dipertandingkan di Dewan 1 NEC. di sini, dan akan terus memasuki peringkat final.

Katanya, semua atlet negara sudah bersedia untuk memikul cabaran pada temasya Komanwel kali ini di bawah bimbingan jurulatih Yon Haryono.

"Buat masa ini kita menjalani latihan seperti biasa mengikut program yang sudah dirancang oleh ketua jurulatih Yon Haryono dengan kadar maksimum. Atlet sudahpun siap sedia untuk menunggu hari kejohanan," katanya.

Sukan Komanwel edisi 2018 menyaksikan sukan angkat berat membawa pulang tiga pingat iatu dua emas menerusi Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (55kg) dan Aznil (61 kg) manakala satu perak pula disumbangkan Muhamad Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 85 kg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 6:10 PM