PRESIDEN Persatuan Angkat Berat, Datuk Ayub Rahmat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PRESIDEN Persatuan Angkat Berat, Datuk Ayub Rahmat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang atlet angkat berat diuji positif terhadap bahan terlarang pada sesi saringan anti doping menjelang Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) Perak.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat, tanpa mendedahkan nama dan negeri atlet terbabit berkata saringan itu dibuat dengan kerjasama PABM, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Dengan rasa kesal, kami mengumumkan seorang atlet angkat berat yang menjalani saringan didapati posistif doping dan digantung daripada menyertai SUKMA kali ini. Atlet berkenaan akan menjalani sesi perbicaraan disiplin secara dalaman yang akan diadakan kemudian,” kata Ayub.

“PABM memandang serius isu doping ini untuk melindungi reputasi dan kecemerlangan sukan angkat berat di negara ini.

“Saya berharap semua atlet bertanding terutamanya di SUKMA akan mempamerkan aksi terbaik dan bertanding merebut pingat dan pengalaman dalam temasya sukan terbesar di negara ini.”

Menurut beliau seramai 165 atlet angkat berat daripada 14 pasukan menjalani saringan itu dan hanya yang lulus akan dibenarkan bertanding di SUKMA.

PABM juga akan tetap dengan keputusan mereka menggantung atletnya daripada menyertai kejohanan antarabangsa selama setahun.

Edisi ke-19 SUKMA itu akan diadakan dari 12 hingga 22 September dengan 427 pingat emas menjadi rebutan, membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 7:01 PM