PROF Datuk Dr Md Saberi Md Salleh. FOTO ihsan FB Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh
PROF Datuk Dr Md Saberi Md Salleh. FOTO ihsan FB Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tokoh seni bela diri taekwondo dan Pengasas Global International Taekwondo Federation (GITF ), Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun pada 7.33 pagi, hari ini.

Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Shareen dan Suzlan.

Allahyarham Saberi, bekas dekan pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilaporkan berada dalam keadaan tenat dan dimasukkan ke Hospital Shah Alam akibat pelbagai komplikasi, awal Mei lalu.

"Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya dimaklumkan bahawa ayahanda kami Md Saberi Md Salleh telah kembali menemui penciptanya pada 7.33 pagi, Selasa 14, Jun 2022.

"Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan agar ayah ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihinya," menurut kenyataan ringkas daripada keluarganya.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Amin Kuarters Polis Seksyen 20 Shah Alam untuk urusan selanjutnya.

Pada 2006, Allahyarham mendapat sokongan 32 negara anggota gabungan untuk menubuhkan GITF, sekali gus menjadi presiden.

Beliau seorang antara bukan warga Korea yang dilatih secara peribadi oleh mendiang Jeneral Choi Hong Hi iaitu pengasas taekwondo di negara Asia Timur dan mantan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF).

Saberi terkenal sebagai Pengasas Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF), Pengasas Akademi Taekwondo Sabree dan penerima International Hall of Fame Award 2008 The World Head of Family Sokeship Council yang hanya dianggotai pakar seni bela diri seperti Jackie Chan dan Chuck Norris.

Pada Januari 2010, Saberi dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Tahap Ke-10 dan gelaran Mahaguru Agung (Grandmaster Chong Kwan Jang Nim) daripada Persekutuan Song Do Kwan Kong Soo Doo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 6:08 PM