AHMAD Sarji  (kiri) bersama  Hamad Kama Piah  ketika mengumumkan agihan pendapatan bagi ASM di Menara PNB), semalam.
AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Kama Piah ketika mengumumkan agihan pendapatan bagi ASM di Menara PNB), semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016 sebanyak 6.30 sen seunit.

Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan ASM itu membabitkan peruntukan RM1.027 bilion lebih tinggi berbanding RM1.008 bilion tahun sebelumnya yang memberi manfaat kepada 536,862 pemegang unit yang melanggan 16.298 bilion unit ASM.

Beliau berkata, sehingga 11 Mac lalu, ASM merekodkan pendapatan kasar RM1.26 bilion dengan RM659.96 juta daripadanya adalah keuntungan jualan saham-saham syarikat, RM423.66 juta adalah pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat manakala RM180.01 juta lagi hasil pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

“Indeks utama Bursa Malaysia, KLCI mencatatkan penurunan 7.33 peratus dari 31 Mac 2015 hingga 11 Mac lalu. Meskipun menghadapi suasana pasaran mencabar dalam tempoh dua tahun berturut-turut, prestasi tabung ASM masih memuaskan.

“Selain itu, antara faktor penyumbang kepada prestasi ini adalah kejatuhan harga komoditi khususnya minyak mentah, penyusustan nilai ringgit, kebimbangan pelabur terhadap ekonomi China yang semakin perlahan dan peningkatan kadar faedah oleh Amerika Syarikat,” katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASM di sini, semalam.

Ahmad Sarji berkata, pembayaran agihan pendapatan itu akan dilaburkan semula ke dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 April depan tertakluk kepada unit ASM yang masih ada manakala unit ASM yang sudah mencapai had maksima tabung, agihan pendapatan akan dibayar melalui cek.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pencapaian ASM, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, dengan kedudukan pasaran saham dan ekuiti yang tidak menentu itu, ASNB hanya dapat membayar kadar agihan yang lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Bagaimanapun, pengurangan daripada 6.60 sen seunit kepada 6.30 sen seunit itu hanyalah penurunan 4.5 peratus sedangkan penyusutan pasaran saham mencecah sehingga 7.33 peratus yang selari dengan keadaan pasaran saham semasa.

“Namun, secara dasarnya, kapasiti dan kemampuan sebenar untuk membayar agihan pendapatan ini ialah 8.80 sen seunit, tetapi kita hanya membayar 6.30 sen seunit,” katanya.

Bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan, semua urusniaga bagi tabung ASM di semua pejabat dan ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 23 hingga 31 Mac ini dan pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing bermula 1 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 7:00 AM