KARIM amat sedih dengan apa yang cuba dilakukan oleh Muthu yang cuba mengamalkan diskriminasi. FOTO NSTP
KARIM amat sedih dengan apa yang cuba dilakukan oleh Muthu yang cuba mengamalkan diskriminasi. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penyandang jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu dilihat cuba bermain 'kotor' dan menyalahgunakan kuasanya sebagai presiden apabila membatalkan pencalonan Nurhayati Karim bagi bertanding jawatan Naib Presiden menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 12 Jun ini.

Sebelum ini Muthu turut membatalkan pencalonan Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) iaitu Datuk Wan Hisham Wan Salleh dengan alasan menghantar borang tidak lengkap.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak senang Presiden Persatuan Olahraga Perak (Perak AA), Datuk Karim Ibrahim yang sebelum ini turut pernah menjawat jawatan nombor satu badan induk itu bagi penggal 2015/2019.

"Perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Sejak dulu sehingga era saya menjadi presiden, tidak pernah sewenang-wenangnya membatalkan pencalonan.

"Ini selaku salah seorang presiden persatuan negara, saya amat sedih dengan apa yang cuba dilakukan oleh Muthu yang cuba mengamalkan diskriminasi dan tidak berunding dengan mana-mana ahli majlis.

"Malah dia turut tidak pernah mendengar pandangan dan pendapat dari Perak AA sebelum ini.

"Tindakan Muthu ini boleh membawa kepada tindakan undang-undang," katanya.

Atas tindakan Muthu itu, Karim memaklumkan bahawa calon pilihan Perak AA iaitu Nurhayati kini sudah pun mendapatkan nasihat undang-undang untuk mengembalikan semula pencalonannya bagi perebutan jawatan naib presiden.

Terdahulu, KOM mengeluarkan satu kenyataan yang memaklumkan pencalonan Nurhayati ditolak berdasarkan klausa 8.7.1 Perlembagaan KOM yang menyatakan:

"Pada AGM di mana pemilihan pemegang jawatan diadakan, calon-calon mestilah pemegang jawatan semasa kepada Ahli (-Ahli) Gabungan, kecuali calon untuk jawatan presiden, yang terbuka kepada sesiapa yang dicadangkan oleh ahli gabungan.

"Kesemua pencalonan hendaklah dicadangkan dan disokong oleh Ahli-Ahli Gabungan yang berkenaan dengan pengesahan penerimaan oleh calon itu dan dihantarkan kepada Pengurus Besar KOM sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh AGM yang ditetapkan," menurut klausa itu yang dikongsi oleh KOM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 6:16 PM