HARRIF sentiasa sedekah lauk setiap kali Ramadan. FOTO Mohd Harrif Saleh
HARRIF sentiasa sedekah lauk setiap kali Ramadan. FOTO Mohd Harrif Saleh
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bulan Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu umat Islam di seluruh dunia yang mempunyai ganjaran pahala berlipat kali ganda di bulan yang suci ini.

Selain kewajipan berpuasa, amalan lain yang digalakkan sepanjang bulan Ramadan seperti solat terawih, bertadarus, bersedekah dan lain-lain lagi.

Antara yang tidak melepaskan peluang merebut keberkatan bulan mulia ini adalah pelumba lebuhraya negara, Mohd Harrif Saleh yang tidak pernah melepaskan peluang bersedekah di bulan Ramadan setiap tahun.

Kata pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu, dia bersama rakan dan ahli keluarga akan memasak lauk sebelum diagihkan kepada penduduk di kampungnya.

"Aktivit di bulan puasa memang padat juga dan saya ada buat kerja amal juga, beli ayam banyak-banyak dan lepas itu kita masak dan sedekahkan kepada penduduk kampung.

"Memang aktiviti tahunan saya di bulan puasa ini, memang saya akan buat sedekahkan lauk pauk itu kepada yang kat kawasan rumah saya. Memang sentiasa sedekah lauk pauk di bulan puasa ini," katanya.

Ujarnya lagi, setiap kali tibanya bulan Ramadan, dia mengakui merindui zaman kanak-kanaknya yang cukup meriah dan menyeronokkan.

"Kenagan yang tak dapat dilupakan kanak-kanak ini, ketika kita nak solat terawih dan kita berkumpul kat rumah saya.

"Lepas solat terawih itu kita main mercun dan dari situ kita rasa rindu pada zaman kanak-kanak. Rindu zaman kanak-kanak yang buatkan kita teringat di bulan puasa ini," katanya.

Ditanya hidangan kegemaran yang tidak akan dilepaskan setiap kali berbuka puasa, Harrif akui makanan tradisi iaitu nasi dagang dan nasi kerabu adalah makanan kegemarannya.

"Kegemaran saya menu waktu berbuka puasa memang suka makan nasi dagang dan nasi kerabu, makanan tradisional orang Terenagganu memang makanan kegemaran saya apabila berbuka puasa. Kadang-kadang ikan singgang dan macam-macam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:02 PM