ISKANDAR ZULKARNAIN (kanan) ketika berbuka puasa bersama keluarga Ardy di Republik Ireland. FOTO ihsan ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN
ISKANDAR ZULKARNAIN (kanan) ketika berbuka puasa bersama keluarga Ardy di Republik Ireland. FOTO ihsan ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berkelana di bumi orang bukan satu tugas mudah, tambahan pula perlu bekerja ketika bulan Ramadan, namun itulah sedang dilalui bekas pemain badminton perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Biarpun terpaksa menempuh segala godaan dan dugaan di negara kepulauan di Lautan Atlantik Utara iaitu Republik Ireland, ia bukan satu halangan buat Iskandar yang sekarang ini menjadi jurulatih skuad badminton negara itu untuk menunaikan ibadah puasa dan pada masa sama menjalankan pekerjaan barunya itu.

Menurut jurulatih berusia 30 tahun itu, berpuasa di perantauan bukan lagi asing buatnya, cuma kali ini sedikit berbeza apabila dia bukan berkelana ke negara asing untuk beraksi, tapi melatih pemain Ireland yang mempunyai misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya sudah pernah berpuasa di luar negara. Saya masih ingat lagi ketika itu sedang menyertai kejohanan dan ia adalah salah satu pengalaman tidak dapat dilupakan sebagai seorang pemain badminton negara.

"Menjalani ibadah puasa ketika menyertai kejohanan adalah seperti sedang berjuang, begitu juga dirasai sekarang walaupun kali ini berperanan sebagai jurulatih," kata Iskandar yang pernah membantu skuad negara di Piala Thomas, Sukan Asia dan Sukan Sea.

Beliau berkata, katanya kali ini, situasinya sedikit berbeza apabila dia perlu memasak sendiri untuk juadah berbuka dan akan ada komuniti Malaysia yang memberikan lauk-pauk.

Menurutnya, ada satu keluarga dari Malaysia yang menjaganya dan mereka jugalah yang sering memberikan lauk-pauk atau berbuka bersama-sama.

Apabila menyebut mengenai keluarga atau adiknya iaitu Amzzar dan Ameer yang pernah bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Iskandar pasti akan terkenang saat manis ketika berbuka puasa bersama keluarganya.

"Berbuka bersama keluarga dengan adik-beradik adalah kenangan di zaman kanak-kanak yang pasti saya tidak akan lupakan. Setiap kali tibanya bulan Ramadan, saya pasti teringat kenangan berkenaan.

"Makanan wajib perlu ada bagi juadah berbuka pula adalah nasi, lauk tidak kisah apa pun, janji nasi wajib ada di atas meja ketika berbuka," kata Iskandar Iskandar yang turut lahir dalam keluarga badminton sama seperti Keluarga Sidek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 8:59 PM