Penyanyi, Datin Alyah. FOTO NSTP
Penyanyi, Datin Alyah. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, ini rezeki yang tak dijangka."

Demikian kata penyanyi terkenal Datin Alyah apabila buat pertama kali dilantik menjadi duta kempen Buffet Sentuhan Ramadan Hotel Tenera, Bangi sepanjang Ramadan nanti.

Alyah, 42, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, tawaran itu hadir ketika usia kerjaya seninya mencecah 23 tahun.

"Sejujurnya, ini kali pertama seumur hidup dan sepanjang menjadi penyanyi saya dipilih menjadi duta kempen buffet Ramadan. Apabila tawaran ini hadir, saya sambut dan terima dengan penuh teruja.

"Insya-Allah, saya akan turut serta pada hari tertentu dan mengambil kesempatan untuk menghiburkan pengunjung," katanya.

Alyah (kiri) buat julung kali dilantik duta
Alyah (kiri) buat julung kali dilantik duta

Menurut Alyah, kunjungannya ke hotel itu tahun lalu bagi berbuka puasa membawa pada kerjasama yang terjalin.

"Saya sendiri tak sangka kerana sebelum ini, pada tahun lalu, saya menjadi pelanggan di sana kerana menggemari apa yang mereka hidangkan. Lauk pauk yang sedap memang memukau selera saya.

"Selain itu, saya sukakan konsep yang dipersembahkan. Selain kelazatan juadah, mereka juga menyediakan kemudahan surau dan dewan untuk solat Maghrib, Isyak dan terawih. Bayangkan, ibu saya pun suka untuk berbuka di sana kerana makanan sedap dan kemudahan terbabit.

"Maklumlah, golongan mak-mak ni, jika diajak berbuka di luar, mereka kurang bersetuju kerana mereka mahu segera menunaikan solat fardu dan terawih. Di sana semuanya serba lengkap, jadi tak ada masalah untuk saya membawa ibu dan keluarga," katanya.

Menghimpunkan lebih 200 menu seperti Penyek Sambal Lada, Bakso Sup, Nasi Ayam Buluh Betong, Kari Kepala Ikan Salmon, John Tortilla Brisket, Keropek Abe, Cendol Sawit, Roti Bakar Arang, pelbagai hidangan pencuci mulut serta aneka minuman, ia merupakan hasil air tangan seorang cef yang berpengalaman, Cef Sahisal Azrul Mat Said yang merupakan cef eksekutif Hotel Tenera.

Hotel Tenera menawarkan harga tempahan awal atau 'early bird' pada harga RM 88. Tawaran istimewa ini bermula pada 1 Januari lalu hingga 28 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 12:06 AM