BERBUKA puasa bersama-sama kanak-kanak pelarian Rohingya.
BERBUKA puasa bersama-sama kanak-kanak pelarian Rohingya.
HM Digital

Tiada yang lebih menggembirakan apabila dapat berbuka puasa dengan juadah enak sambil dikelilingi rakan dan keluarga tersayang. Bagi golongan kurang berkemampuan pastinya Ramadan disambut dalam keadaan serba kekurangan. Apa yang ada itulah yang dimakan bagi melengkapkan kewajipan berbuka puasa walaupun hanya segelas air kosong bersama sepinggan nasi putih berlaukkan kuah kari.

Apabila ada yang ingin menaja makanan, ia semestinya sesuatu yang perlu disyukuri kerana sekurang-kurangnya kanak-kanak mampu merasai nasi bersama lauk-pauk enak yang dianggap sebagai hidangan premium bagi mereka.

Ingin memberikan kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan Pengasas Kindness Malaysia Muhammad Kamarulazizi sekali lagi melancarkan projek amal TajaMereka sepanjang Ramadan ini. Program ini memberi peluang kepada orang ramai menaja juadah berbuka puasa sekali gus meraikan kegembiraan mereka.

Projek TajaMereka memberi manfaat kepada lebih ramai penerima dari pelbagai latar belakang. Tahun ini kita masih menggunakan konsep yang sama apabila orang ramai dapat menaja golongan kurang berkemampuan pada masa sama berpeluang berbuka puasa bersama mereka sekali,” katanya.

Jelas Muhammad, bantuan diperlukan berbentuk kewangan bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada rumah kebajikan terpilih. Untuk seorang individu tajaan diperlukan sebanyak RM40 merangkumi makanan berbuka, duit raya dan sumbangan lain yang dirasakan perlu. Bagi yang ingin turut serta berbuka puasa bersama-sama tambahan RM20 akan dikenakan.

“Pada 2017, kita meraikan lebih 3,000 penerima dan pada tahun ini Kindness menjangkakan menerima lebih banyak sumbangan bagi memberikan kegembiraan kepada lebih ramai penerima. Seperti hadis dalam riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya,” katanya.

Program pertama TajaMereka bermula pada 19 Mei bertempat di Ma’ahad Tahfiz Nur Al Quran, Rantau Panjang, Klang dengan penerima 35 pelajar tahfiz, pada 25 Mei pula akan diadakan di Rumah Nur Kasih, Kampung Mawat, Langkawi dengan 50 anak yatim dan asnaf akan diraikan. Seterusnya pada 27 Mei untuk berbuka dan bersahur di Maahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran, Pulau Pinang bersama 15 pelajar tahfiz.

Mereka yang berminat menaja makanan boleh memberikan sumbangan menerusi nombor akaun CIMB 8008210971 (Kindness Malaysia), Maybank 514057664892 (Kindness Dot My).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:40 AM