SUMAREH (tiga kiri) sering berbuka puasa bersama keluarganya. FOTO ihsan Mohamadou Sumareh
SUMAREH (tiga kiri) sering berbuka puasa bersama keluarganya. FOTO ihsan Mohamadou Sumareh
Syazwan Msar


RAHSIA untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe adalah beraksi dengan baik dan mengekalkan momentum di setiap latihan.

Namun, jika mahu memikat hati tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh pula terletak kepada keenakan nasi kerabu kerana pemain berusia 28 tahun itu cukup meminati makanan tradisi Kelantan itu terutama semasa bulan Ramadan.

Sumareh berkata, kali pertama diperkenalkan makanan itu beberapa tahun lalu oleh rakan-rakan ketika sarapan pagi selepas melakukan latihan ringan bersama pasukan Pahang.

"Kali pertama melihat terus terdetik, nasi apa ini berwarna biru dan ada pula lada besar namun bila 'dipaksa' mencubanya terus melekat sampai sekarang.

"Jika terlalu lapar dan mahu makan dengan banyak terutama ketika berbuka puasa sudah pasti saya akan mencari nasi kerabu ini terutama yang dijual di bazar Ramadan.

"Cuma sekarang agak sukar kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penularan Covid-19 menyebabkan bazar Ramadan tiada dan terpaksa menempah menerusi atas talian," kata pemain yang berasal dari Gambia.

Selain itu, katanya, menyambut Ramadan ketika PKP memberi lebih masa untuk bersama dengan ibu bapa dan dua kakaknya untuk berbuka puasa.

"Saya sekarang ini tinggal berhampiran dengan kediaman ibu bapa di Petaling Jaya sekali gus mudah untuk berbuka puasa bersama mereka.

"Berbuka puasa dengan insan istimewa? Pada masa sekarang mereka saja yang istimewa dan paling penting dalam hidup saya," katanya.

Sementara itu, pemain terbabit turut melakukan kerja amal sepanjang tempoh Ramadan dengan mengagihkan bantuan seperti barangan keperluan kepada golongan memerlukan dan asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 11:45 PM