SUHAILI (empat dari kiri) menerima sijil keahlian Istaf daripada Abdul Halim di Singapura.
SUHAILI (empat dari kiri) menerima sijil keahlian Istaf daripada Abdul Halim di Singapura.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Sepak Takraw Malaysia (MSC), Datuk Suhaili Abdul Rahman menghulurkan tangan dan membuka pintu kepada mana-mana ahli gabungan atau bersekutu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menyertai badan induk baharu dan tunggal kebangsaan yang diiktiraf itu.

Andai kemelut itu berterusan, paling rugi adalah sukan sepak takraw dan Malaysia sekiranya PSM terus mempolitikkan isu keahlian mereka yang sudah terbatal (akibat penyingkiran Astaf dan Istaf pada 20 Mei 2021 dan 23 Mac lalu).

Justeru, beliau berkata, mengambil semangat bulan mulia Ramadan dan mahu berjiwa besar, jemputan itu ditujukan kepada 10 negeri dan wilayah persekutuan yang masih menganggotai PSM dan empat ahli bersekutu mereka.

Katanya, ia penting demi mengembalikan Malaysia sebagai kuasa utama sepak takraw dunia dan merampas semula pingat emas Sukan Asia, September ini.

"Saya mengalu-alukan persatuan sepak takraw dan majlis sukan yang masih bernaung di bawah PSM supaya menyertai MSC memandangkan PSM sudah tidak mempunyai mandat sebagai pentadbir urus dan pengelola sukan sepak takraw di Malaysia lagi.

"MSC pula sudah diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 10 Februari lalu, malah secara rasmi menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) pada 5 Mac dan 4 April lalu," katanya.

Negeri dan wilayah persekutuan yang masih menganggotai PSM ialah Perak, Pahang, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang manakala Angkatan Tentera, Polis, Bomba dan Penjara adalah ahli bersekutu mereka.

Enam persatuan yang membentuk MSC pula ialah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan (PSWPL), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) serta Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSNS).

Beliau berkata, MSC menerima sijil keahlian Istaf yang diserahkan Setiausaha Agung Istaf yang juga Presiden Astaf, Abdul Halim Kader di Singapura pada Jumaat lalu, sempena majlis undian sepak takraw Sukan Sea Hanoi 2022 pada 12 hingga 23 Mei ini.

Menurutnya, pengiktirafan terbaru Istaf itu dan sebagai satu-satunya badan induk pentadbir urus sukan sepak takraw di Malaysia, sudah tiada sebab untuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak menerima permohonan MSC menjadi ahli gabungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 12:37 PM