SUMALI yakin kemelut yang melanda ketika ini dapat diselesaikan. FOTO Bernama
SUMALI yakin kemelut yang melanda ketika ini dapat diselesaikan. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Mohd Sumali Reduan enggan membuang masa sebaik sah menggalas tugas selaku Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang baharu apabila menegaskan mahu segera mendapatkan semula pengiktirafan daripada Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Jelas Sumali, perkara itu akan menjadi pertimbangan paling utama ketika ini dan beliau serta barisan kepimpinan lain akan mengatur pertemuan dengan Presiden Astaf, Datuk Halim Kader untuk menyelesaikan pertikaian membabitkan kedua-dua pihak.

"PSM dengan kekuatan ahli gabungan sebanyak 12 persatuan negeri dan tiga ahli bersekutu, kami yakin kemelut yang melanda ketika ini dapat diselesaikan.

"Saya sangat mengenali Datuk Halim dan rakan-rakan Astaf yang lain. Datuk Halim orangnya sangat baik, dan beliau suka melihat keharmonian sukan sepak takraw di negara ini. Jadi, bagilah kami peluang," kata Sumali.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai Presiden PSM selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, hari ini.

Pada Mei tahun lalu PSM digugurkan keahlian daripada Astaf susulan tindakan bekas presiden badan induk itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari tahun lalu.

Tindakan itu didapati melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof baru-baru ini pula membayangkan hanya dengan mewujudkan entiti baharu berupaya menyelamatkan sukan sepak takraw negara daripada terus tercicir di peringkat antarabangsa selepas Astaf menyatakan pendirian enggan lagi menerima PSM sebagai ahli gabungan kerana secara berterusan melanggar peraturan ditetapkan mereka.

Dilaporkan, enam bekas ahli gabungan PSM bersedia membentuk entiti baharu dengan menggunakan nama Konfederasi Sepak Takraw Malaysia, dengan permohonan berhubung perkara itu sudah diserahkan kepada PJS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 6:44 PM