PEMENANG semua kategori B-15, B-13 dan B-11 Kejohanan Badminton Remaja Allianz bergambar kenangan selepas pusingan pertama di Taiping, Perak baru-baru ini.
PEMENANG semua kategori B-15, B-13 dan B-11 Kejohanan Badminton Remaja Allianz bergambar kenangan selepas pusingan pertama di Taiping, Perak baru-baru ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) memperkenalkan kategori baharu tahun ini iaitu perseorangan lelaki dan perempuan Bawah 11 Tahun (B-11) bagi memupuk bakat pemain muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata pengenalan kategori baharu itu dapat meluaskan pencarian bakat berpotensi untuk masa depan memandangkan kategori termuda dalam AJBC sebelum ini adalah B-13.

"Sejak dua tahun lalu ibu bapa, guru dan pegawai meminta kami melihat kemungkinan menambah kategori baharu untuk pemain B-11. Tidak ramai yang tahu perbezaan umur setahun atau dua boleh memberikan perbezaan dari segi kekuatan fizikal dan saiz.

"Selepas mempertimbangkan dengan teliti maklum balas ini, kami memutuskan sudah tiba masanya untuk memperkenalkan kumpulan umur baharu bagi memberi manfaat kepada pemain muda," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, empat pemain AJBC dipilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil manakala beberapa finalis kategori B-15 dijemput untuk menjalani percubaan dengan Akademi Badminton Malaysia tahun lalu.

"Saya amat gembira dengan perkembangan ini kerana ia menunjukkan AJBC bergerak ke arah yang betul dan sejajar dengan apa yang kami rancangkan.

"Kami sentiasa menyokong badminton Malaysia dengan memberikan lebih banyak peluang kepada pemain lelaki dan perempuan untuk bersaing dalam persekitaran kompetitif di seluruh negara," katanya.

Kira-kira 2,500 pemain menyertai AJBC tahun lalu dan bagi edisi tahun ini, penyertaan dijangka meningkat kepada 3,000 merentasi 10 pusingan kelayakan.

Pusingan pembukaan diadakan di Taiping, Perak minggu lalu diikuti Pulau Pinang dari 17 hingga 19 Mei ini dengan pusingan kelayakan turut diadakan di beberapa gelanggang di seluruh negara termasuk Alor Setar, Cheras, Kuching, Kota Kinabalu, Kluang, Pengkalan Chepa, Bukit Beruang dan Kuantan.

Menurut kenyataan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Intan, Nur Aina Maisarah dan Tan Zhi Ying dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) San Min masing-masing merangkul dua kejuaraan dalam kategori perseorangan dan beregu perempuan B-15 dan B-13 pada pusingan pembukaan di Perak.

Pusingan akhir AJBC yang menampilkan finalis B-13 dan B-15 dari semua pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 20 hingga 25 November depan.

Setiap pusingan akan menyaksikan 24 pemain layak ke pusingan akhir. Pemain B-11 tidak akan mara ke pusingan akhir AJBC.

Seperti sebelumnya, pemain yang menyertai pusingan kelayakan AJBC tidak perlu membayar sebarang yuran penyertaan.

Pada pusingan kelayakan, tiga pemenang teratas dalam semua kategori umur masing-masing akan menerima hadiah RM500, RM300 dan RM150 untuk perseorangan serta RM600, RM400 dan RM200 bagi beregu.

Pada Grand Final, pemain yang menduduki tiga tempat teratas akan menerima hadiah RM1,000, RM600 dan RM300 untuk perseorangan manakala RM1,200, RM800 dan RM400 untuk beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 11:39 AM