PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada sesi temuramah sempena kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia. FOTO ihsan Sabah FC
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee pada sesi temuramah sempena kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia. FOTO ihsan Sabah FC
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC melakar sejarah tersendiri apabila dijemput menyertai kejohanan antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia pada akhir bulan ini.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan jemputan itu sebagai satu pengiktirafan terhadap pencapaian Sabah FC dalam saingan Liga Super dan serantau.

Katanya, kejayaan skuad Sang Badak ke Piala AFC pada tahun lalu selain mengekalkan kedudukan ketiga terbaik liga dua tahun berturut-turut menuntut pengorbanan, termasuk dari segi perbelanjaan yang begitu besar.

"Semua tahu Sabah FC berbelanja besar dalam membentuk pasukan yang mantap, berkualiti, sekali gus jemputan ini memberikan imej yang sangat baik bukan saja kepada pasukan Sabah FC malah kepada negeri Sabah sendiri," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sabah bersama Selangor FC dijemput menyertai kejohanan pra musim Indonesia itu bersama pasukan Persija Jakarta dan PSIS Semarang yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta bermula 30 Mei ini hingga 2 Jun depan.

Kim Swee berkata, pengiktirafan itu menunjukkan perkembangan positif kepada skuad Sang Badak, sekali gus menjadikannya sebaris dengan negara Asia Tenggara lain yang begitu sinonim dengan kehebatan dalam arena sukan bola sepak.

Mengulas mengenai persiapan pasukannya bagi menghadapi kejohanan itu nanti, Kim Swee mengesahkan tiada pemain kebangsaan yang akan disenaraikan ke Jakarta.

"Pemain sedia ada perlu membuktikan keupayaan mereka untuk layak bermain pada mana-mana kejohanan sekiranya berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama sepanjang kempen liga nanti.

"Sudah tentu ruang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin selain mampu untuk mendapatkan momentum dan meneruskan intensiti selepas mengharungi tiga perlawanan dalam Liga Super kelak," katanya.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai USD30,000 (RM142,000) untuk juara, selain piala dan medal, manakala USD15,000 (RM71,000) bagi naib juara, disusuli USD10,000 (RM47,000) di tempat ketiga dan USD5,000 (RM23,000) di tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 11:31 AM