SUHAILI ketika berucap pada AGM MSC. - FOTO FB MSC
SUHAILI ketika berucap pada AGM MSC. - FOTO FB MSC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) yakin bahawa mereka akan menjadi pilihan sebagai ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana sudah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

Keyakinan itu disuarakan presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman, selepas permohonan badan induk itu menjadi ahli gabungan kepada Persekutuan Sepaktakraw Dunia (Istaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sudah pun diluluskan.

"Sebenarnya, dengan dua perkara ini (diterima menjadi ahli gabungan Istaf dan Astaf) sepatutnya kami sudah diterima menjadi ahli MOM," katanya ketika sidang media sempena majlis berbuka puasa bersama media di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Suhaili berkata, MOM melalui bidang kuasanya mempunyai alasan-alasan lain yang beliau tidak mahu pertikaikan.

"Berdasarkan apa yang dimaklumkan MOM kepada media sebelum ini, MSC mesti berdaftar dengan badan sukan antarabangsa dan Alhamdulillah kita sudah diterima oleh Istaf dan Astaf.

"Cuma apa yang kami tidak boleh berikan apabila timbul persoalan mengenai MSC yang dikatakan masih baharu dan tiada pengalaman. Itu saya akui kerana kami baru saja diluluskan penubuhannya pada Februari lalu.

"Namun, harus diingat kepimpinan MSC yang ada ini adalah pengerusi persatuan negeri yang suatu ketika dahulu bersama dengan PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia)…sudah pasti mereka mempunyai pengalaman.

"Apa pun, saya percaya semua kriteria untuk menjadi ahli MOM kami sudah penuhi dan sekarang semuanya terserah kepada MOM untuk membuat keputusan," kata Suhaili.

Semalam, MOM mengesahkan PSM masih lagi ahli gabungan mereka yang sah biarpun sudah disingkirkan daripada Istaf dan Astaf menerusi surat yang dihantar Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib kepada badan induk berkenaan pada 8 April lalu.

Ditanya mengenai perkara berkenaan, Suhaili, berkata pihaknya tetap akan meneruskan perancangan yang sudah disusun khususnya membabitkan pembangunan sepak takraw negara biarpun masih belum diterima menjadi ahli gabungan kepada MOM.

Katanya, MSC diberikan mandat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk mengelolakan sepak takraw yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) yang dijadual berlangsung, September depan.

"Pembabitan MOM di peringkat antarabangsa hanyalah untuk Sukan Sea dan Sukan Asia. Apa yang kita mahu fokus sekarang adalah aktiviti yang dianjurkan oleh Istaf dan Astaf yang mana kita sudah dijemput untuk turut serta.

"Selain itu, kami juga sedang fokus untuk penganjuran Sukma selepas diberikan mandat oleh KBS, MSN dan PJS. Untuk itu, kami bercadang untuk menganjurkan pra Sukma yang dijangka pada Julai depan sebagai persiapan sebelum temasya sebenar bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 1:16 PM