Gambar fail - Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MSC), Datuk Suhaili Abdul Rahman. - Foto BERNAMA.
Gambar fail - Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MSC), Datuk Suhaili Abdul Rahman. - Foto BERNAMA.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ini bukan rampasan kuasa! Itu perkara yang ditekankan Presiden Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) Datuk Suhaili Abdul Rahman apabila persatuan itu diterima sebagai ahli gabungan kepada Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) semalam.

Malah, Suhaili yang ditemui Arena Metro berkata, MSC harus mengikut segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Astaf selain perlu menunggu sehingga permohonan untuk menjadi sebahagian daripada ahli gabungan diterima.

Sambil mengakui kelulusan diberikan oleh Astaf itu begitu cepat, beliau berkata, keputusan badan induk sepak takraw Asia itu kemungkinan mempunyai kaitan dengan persediaan mengharungi Sukan Sea Hanoi, Mei depan.

Katanya, penubuhan MCS demi memastikan sukan sepak takraw terus berkembang dan diterima di peringkat Asia seterusnya Malaysia boleh menghantar wakil untuk menyertai kejohanan di bawah kelolaan Astaf.

"Kami tidak mempunyai agenda lain namun lebih kepada mahukan sepak takraw negara iaitu sukan tradisi terbela dan mempunyai haluan yang betul pada masa akan datang.

"Kami tidak akan melakukan perubahan drastik iaitu akan singkirkan individu tertentu atau ubah perkara lain kerana itu bukannya tujuan penubuhan MSC.

"Meluluskan MSC adalah PJS (Pesuruhjaya Sukan) yang mengambil sebagai ahli gabungan adalah Astaf iaitu 11 negara yang mempertimbangkan permohonan itu.

"Oleh itu, sahabat kita di sebelah sana kena terima dan beri peluang untuk menjadi entiti baru sepak takraw kebangsaan," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Astaf mengesahkan MSC yang baru ditubuhkan diterima untuk menjadi ahli gabungan yang baharu.

Pengiktirafan itu diberikan menerusi satu sijil yang ditandatangani oleh Halim dan Setiausaha Agung, Boonchai Lorhpipat dari Thailand.

Sementara itu, Suhaili berkata, pihaknya mengalukan ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menjadi sebahagian daripada keluarga MSC tanpa meletakkan sebarang syarat kepada mereka.

"Pintu sentiasa terbuka untuk semua persatuan negeri untuk bersama dengan MSC. Syarat utama yang diletakkan PJS (Pesuruhjaya Sukan) bagi meluluskan permohonan penubuhan MSC adalah kami tidak boleh menghalang atau menyekat kemasukan ahli gabungan yang berada dalam PSM.

"Jadi, kami memang mengalu-alukan kehadiran mereka. Marilah bersama kami demi kemajuan sukan sepak takraw negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 10:31 PM