DUPLANTIS catat rekod baru dunia. -FOTO AFP
DUPLANTIS catat rekod baru dunia. -FOTO AFP
AFP

Belgrade: Armand Duplantis memberi amaran bahawa 'ini hanyalah permulaan' apabila dia memecahkan rekod dunianya sendiri dalam acara lompat bergalah selepas melepasi ketinggian 6.19 meter (m) pada percubaan ketiganya di Kejohanan Dalam Dewan di Belgrade.

"Saya merasakan saya boleh melompat lebih tinggi daripada lompatan ini. Saya rasa ini hanya baru permulaan. Banyak lagi halangan yang perlu dilepasi, mungkin 6.20m," katanya.

Rekod itu dilakukan di arena yang akan berlangsungnya Kejohanan Dalam Dewan dunia yang akan bermula 18 Mac ini dan acara akhir lompat bergalah akan berlangsung pada 20 Mac.

Juara Olimpik dari Sweden berusia 22 tahun itu memecahkan rekod dunia di dalam dewan yang hampir kosong dan dalam pertandingan yang mana dia adalah satu-satunya atlet berprofil tinggi yang menyertai acara itu.

Selepas dengan mudah melepasi 5.61m, 5.85m dan 6m, dia melepasi 6.19m pada percubaan ketiganya.

"Saya biasanya tidak berlatih dengan ketinggian seperti ini tapi saya benar-benar yakin dapat melakukannya.

"Satu-satunya perkara yang bermain dalam fikiran saya dari awal adalah rekod dunia," kata Duplantis.

"Itu saja perkara yang saya fikirkan hari ini. Jika saya tidak memecahkan rekod dunia saya akan kecewa.

Duplantis berkata: "Saya rasa saya sudah mencuba 6.19m sebanyak 50 kali.

"Saya tidak pernah merasakan ketinggian itu akan memberi masalah kepada saya, jadi ia satu perasaan yang sangat baik. Ia sangat sukar dilakukan sepanjang tempoh dua tahun lalu.

"Saya sangat gembira bila berjaya melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 12:46 PM