Jasni (kanan) menunjukkan pakaian yang diagihkan kepada mangsa bencana banjir.
Jasni (kanan) menunjukkan pakaian yang diagihkan kepada mangsa bencana banjir.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Misi Bantuan Pakaian Sukan Mangsa Banjir yang dicetuskan oleh kumpulan Pengamal Media Sukan tanah air hari ini disumbangkan daripada peminat sukan dan bekas atlet kepada mangsa musibah di kawasan Hulu Langat, Selangor.

Misi yang diketuai oleh Datuk Jasni Shafie ini disertai oleh beberapa kenderaan pacuan empat roda daripada pasukan penganjur acara pacuan empat roda terbaik antarabangsa, Rain Forest Challenge (RFC).

Antara barangan yang disampaikan ialah pakaian sukan, kasut dan beberapa pakaian wanita yang disumbangkan oleh peminat-peminat sukan dari seluruh negara serta bekas atlet.

"Kami bersyukur kerana dapat menyampaikan barang-barang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan berharap sumbangan ini dapat membantu mangsa banjir yang kehilangan harta benda, khususnya pakaian beriadah dan bersukan," kata Jasni.

Misi bantuan ini agak unik kerana ia mengumpulkan pakaian berkaitan sukan kerana tujuan utama ialah supaya mereka yang terkesan dalam banjir dapat kembali meneruskan kehidupan aktif dan bersukan selepas pakaian sukan mereka rosak selepas rumah ditenggelami banjir baru-baru ini.

Bekas wartawan sukan, Azman Suradi merumuskan misi ini agak istimewa dan kreatif kerana ia memberi tumpuan kepada sumbangan berbentuk pakaian dan barangan sukan yang jarang dilakukan dalam bantuan banjir yang dilakukan oleh pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum ini.

"Sedikit sebanyak barangan yang disampaikan, dengan terus kepada sasaran akan membantu untuk mereka mula beriadah dan bersukan secepat mungkin selepas banjir pulih," kata Azman yang turut menjadi mangsa banjir apabila rumahnya ditenggelami air.

Petugas sukarelawan bersama kasut sukan sumbangan peminat sukan.
Petugas sukarelawan bersama kasut sukan sumbangan peminat sukan.

Ketua Kumpulan Pacuan Empat Roda RFC, Atan Aris pula berkata mereka berbangga bersama dalam misi ini kerana dapat memberikan sumbangan membantu mangsa banjir dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda masing-masing.

"Kami akan terus memberikan sokongan kepada misi ini kerana ia lebih fokus iaitu menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian sukan kepada mangsa banjir yang terjejas, terutama anak muda dan murid sekolah," kata Atan.

Misi ini dilancarkan pada dua minggu lalu bertujuan membantu mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan harta benda termasuk pakaian apabila musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 4:27 PM