HARLEEIN (tengah) diapit pemenang lain. FOTO Ihsan Hafiif Tarmizi
HARLEEIN (tengah) diapit pemenang lain. FOTO Ihsan Hafiif Tarmizi
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain skuasy remaja Negeri Sembilan, Harleein Tan, berjaya menjulang nama Malaysia apabila menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka US Junior Kategori Bawah 13 Tahun 2021 di Pusat Skuasy Philadelphia, 22 Disember lalu.

Dia berjaya menewaskan pemain Mesir, Maya Mandor, pada pentas final dengan keputusan 11-6, 8-11, 13-11, 11-6.

Sebanyak enam negara mengambil bahagian pada kejohanan berprestij itu iaitu Pakistan, England, India, Colombia, Malaysia dan Amerika Syarikat.

"Saya berasa seronok memenangi gelaran ini, kerana saya tidak dapat bermain mana-mana kejohanan luar negara selama hampir dua tahun disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"British Junior adalah kejohanan platinum terakhir saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana membuatkan detik paling mengembirakan ini berlaku semasa pandemik.

"Perjalanan menjalani latihan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan bukanlah mudah," katanya dalam pesanan ringkas menerusi jurulatihnya, Hafifi Tarmizi, hari ini.

Pelajar Kolej Tuanku Ja`afar (KTJ) Mantin Seremban itu sebelum ini pernah menjuarai Terbuka British junior 2021.

Harleein berkata, kejayaan itu amat bermakna baginya dan akui ia adalah hasil kerja keras serta sokongan padu daripada barisan jurulatih dan Pengetua KTJ, Dr Glenn.

"Misi selepas ini adalah ingin memenangi lebih banyak kejuaraan untuk negara dan berazam untuk berlatih lebih gigih sebaik sahaja saya kembali ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 10:16 PM