HARLEEIN (kiri) menjuarai kategori bawah 13 tahun Terbuka Remaja Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. FOTO Agensi
HARLEEIN (kiri) menjuarai kategori bawah 13 tahun Terbuka Remaja Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bintang skuasy dalam pembikinan, Harleein Tan mahu memperbaiki kelemahan terutama membabitkan corak permainan dalam usaha merangkul lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang.

Harleen yang berjaya menjuarai kategori bawah 13 tahun Terbuka Remaja Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini berkata, dia tidak mahu terus 'hanyut' dengan kejayaan itu dan tekad berusaha gigih sekali gus tampil lebih menyakinkan kelak.

Katanya, kejayaan yang dikecapi itu bukanlah mudah terutama hampir dua tahun tidak dapat menyertai sebarang pertandingan di luar negara disebabkan pandemik Covid-19.

"Saya sangat gembira dengan gelaran ini. Menjuarai gelaran USJO (Terbuka Remaja Amerika Syarikat) ini adalah hadiah Tahun Baharu terbaik buat saya.

"Pada masa sama, saya berterima kasih kepada ibu bapa kerana memastikan kejayaan ini tercapai walaupun masih dalam keadaan pandemik. Perjalanan saya tidak mudah.

"Sasaran saya yang seterusnya ialah BJO (Terbuka Remaja Great Britain bulan depan) untuk kategori bawah 15 tahun. Saya akan berlatih dengan lebih gigih sekembalinya saya ke Malaysia nanti," katanya

Terdahulu, Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu ditabalkan sebagai juara selepas menewaskan Maya Mandour dari Mesir 11-6, 8-11, 13-11, 11-6 pada aksi final yang berlangsung di Pennsylvania, Philadelphia.

Ia adalah gelaran kedua dalam karier Harleein selepas terdahulu dia menjuarai kategori bawah 11 tahun Terbuka Remaja Great Britain di Birmingham tahun lepas.

Kejayaan Harleein dan prestasi ditunjukkan beberapa lagi pemain muda bawah 15 tahun membuktikan Malaysia tidak ketandusan pelapis untuk menyinar di pentas antarabangsa pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:49 PM