JACKIE antara salah seorang mangsa yang bertarung dengan virus itu selama 73 hari. FOTO NSTP
JACKIE antara salah seorang mangsa yang bertarung dengan virus itu selama 73 hari. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: "Covid adalah satu virus yang tidak memilih orang dan ia bukan satu jenaka. Sama sama kita mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang dirangka dan memutuskan rantaian covid," itu kata-kata nasihat daripada atlet lempar cakera negara, Jackie Wong.

Jackie antara salah seorang mangsa yang bertarung dengan virus itu selama 73 hari. Bukan mudah bagi dirinya kembali ke prestasi terbaik sebaik saja pulih daripada virus itu.

Atlet berusia 28 tahun itu yang dimasukkan ke wad pada awal pagi 16 Mac lalu dan dibenarkan keluar dari Hospital Sibu, Sarawak pada 28 Mei berharap agar semua atlet yang kini berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN) agar mematuhi segala arahan yang dikeluarkan.

"Saya faham dan jelas dengan SOP yang dikeluarkan oleh MSN. Ia adalah satu tanggungjawab bagi setiap atlet dan juga orang lain dalam tempoh negara di serang gelombang ketiga Covid-19. Kita memang perlu melakukan pengorbanan dan kurangkan aktiviti yang tidak beberapa penting dalam tempoh ini.

"Bagi saya segala arahan yang dikeluarkan oleh MSN berhubung SOP latihan itu bukan sukar untuk dipatuhi dan memang saya sudah biasa dengannya.

"Sebelum ini pun memang jurulatih jarang membenarkan kami (atlet baling tukul besi) untuk keluar," katanya.

Sebagai seorang atlet, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 68.22 meter (m) itu tidak pernah membayangkan dirinya akan dijangkiti Covid-19, apatah lagi mengambil kira gaya hidupnya yang aktif.

Terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan program sukan di bawah kendalian pihaknya dan agensi-agensi dibawahnya ditangguhkan hingga 31 Oktober bagi mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, ia dikecualikan bagi latihan harian sukan di bawah program latihan sepenuh masa MSN dan persatuan sukan kebangsaan dengan mematuhi kawalan pergerakan dan pematuhan kepada SOP sepenuhnya.

Atlet, jurulatih dan pegawai yang menjalani latihan sepenuh masa dan menginap di asrama pusat latihan MSN adalah dilarang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga 31 Oktober kecuali bagi kes kecemasan dan mendapat kebenaran daripada MSN.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 10:57 PM