RASHID (dua kanan) dan Liek Hou (tiga kiri) pada majlis penghargaan kepada mereka, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
RASHID (dua kanan) dan Liek Hou (tiga kiri) pada majlis penghargaan kepada mereka, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek hari ini mendapat suntikan semangat baru apabila menerima sebuah unit kondominium mewah yang dikongsi bersama bernilai RM800,000.

Ia adalah sumbangan daripada syarikat pemaju dan pelaburan hartanah, BT Bina Group Sdn Bhd susulan kejayaan meraih emas di temasya Paralimpik Tokyo Julai lalu.

BT Bina turut mengumumkan tajaan wang tunai sebanyak RM1 juta selama tiga tahun bermula tahun depan kepada Liek Hou dan Rashid bersama-sama beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin.

Ia bermakna keempat-empat mereka akan menerima RM250,000 setahun bagi membantu perjuangan mereka memburu tempat ke Paris 2024.

Bagi Liek Hou, 33, penajaan dan sumbangan berkenaan cukup bermakna buat dirinya dan berharap akan berjaya meraih lebih banyak kejayaan selepas ini seterusnya mempertahankan emas yang dimenanginya di Paris nanti.

"Terima kasih kepada BT Bina kerana sudi menaja saya dan jurulatih. Ia dapat meringankan beban saya dan membolehkan saya fokus kepada lebih banyak pertandingan," katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif BT Bina BT Bina Group, Datuk Seri David Tan.

Sementara itu Rashid turut mengucapkan penghargaan kepada BT Bina di atas insentif berkenaan.

Mengakui terkejut menerima tajaan berkenaan dari syarikat swasta, Rashid berharap apa yang diraihnya hari ini dapat menarik lebih ramai pemain badminton para untuk terbabit dalam sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:08 PM