Korir (kanan) dan Peres Jepchirchir muncul juara kategori masing-masing di Maraton New York. FOTO Agensi
Korir (kanan) dan Peres Jepchirchir muncul juara kategori masing-masing di Maraton New York. FOTO Agensi
AFP

New York: Atlet Kenya, Albert Korir memenangi kategori lelaki dan rakan senegara, Peres Jepchirchir merangkul kejuaraan dalam kategori wanita di kejohanan Maraton New York ke-50.

Kira-kira 30,000 peserta mengambil bahagian dalam larian yang dibatalkan tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

Korir adalah naib juara 2019, menamatkan saingan 23 saat di belakang seorang lagi atlet Kenya, Geoffrey Kamworor, tetapi yang pertama melintasi garisan penamat dalam masa dua jam lapan minit 22 saat untuk mengatasi atlet Maghribi, Mohamed El Aaraby dengan 44 saat (s) sementara atlet Itali, Eyob Faniel ketiga dengan 2:09:52s.

"Ia bukan perlumbaan mudah tetapi saya seronok menyertainya." kata Korir.

"Selepas saya cuba memberi tekanan secara taktikal, ia berjaya."

Peres menjadi juara Olimpik pertama untuk memenangi perlumbaan wanita dengan catatan 2:22:39s hanya 13 minggu selepas kejayaannya di Jepun.

"Ia tidak dijangka. Sukar dipercayai," kata Peres.

"Saya bersyukur kerana menamatkan musim ini dengan baik selepas kemenangan di maraton Olimpik.

"Masa agak suntuk tetap saya cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan saya menyelesaikan kerja dan melengkapkan persediaan saya."

Seorang lagi atlet Kenya, Viola Cheptoo, kakak kepada bintang Amerika Syarikat yang lahir di Kenya, Bernard Lagat, di tempat kedua dengan 2:22:44s ketika atlet Habsyah, Ababel Yeshaneh, naib juara Chicago 2019 ketiga dengan 2;22:52s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 10:29 AM