PELARI Ethiopia, Gotytom Gebreslase (tengah) memenangi pingat emas acara maraton wanita manakala Judith Jeptum Korir (kiri) dari Kenya di tempat kedua dan pelari Israel, Lonah Chemtai Salpeter memenangi gangsa. FOTO EPA
PELARI Ethiopia, Gotytom Gebreslase (tengah) memenangi pingat emas acara maraton wanita manakala Judith Jeptum Korir (kiri) dari Kenya di tempat kedua dan pelari Israel, Lonah Chemtai Salpeter memenangi gangsa. FOTO EPA
Reuters

Eugene: Atlet Ethiopia, Gotytom Gebreslase memenangi pertarungan dua penjuru dengan pelari Kenya, Judith Korir untuk merangkul gelaran juara maraton wanita dengan rekod Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini.

Gotytom melakukan pemisahan kira-kira 2 kilometer (km) sebelum garisan penamat dan tidak memberi peluang kepada Judith untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 2 jam 18 minit dan 11 saat, sekali gus memecahkan rekod dicatat pelari Britain, Paula Radcliffe iaitu 2:20:57s yang direkodkan pada 2005.

"Saya sangat gembira dan mahu menghadiahkan kejayaan ini kepada Tuhan," kata Gotytom yang kali pertama memenangi gelaran utama dalam kariernya di Berlin, tahun lalu.

"Pelari Kenya itu meminta saya memintasnya, tetapi saya tetap bersabar. Kira-kira 40km, saya mengumpul kekuatan dan memutuskan untuk meninggalkannya."

Ia adalah kejayaan kedua Ethiopia bagi acara maraton di Eugene, Oregon selepas Tamirat Tola memenangi kategori lelaki dengan rekod kejohanan iaitu 2:05:36s.

"Kemenangan Tola semalam banyak memberikan saya motovasi," kata Gotytom.

Judith yang mencatatkan masa terpantas dalam kariernya, berkata dia kecewa apabila Gotytom enggan berkongsi pendahuluan dengannya apabila mereka membuat pemisahan selepas 27km, tetapi berpuas hati dengan prestasinya.

"Pelari Ethiopia itu memang pantas. Bukan mudah berlumba dengan mereka, tetapi saya sudah cuba yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 8:29 AM