AZROY berdepan hukuman penggantungan maksimum selama empat tahun. FOTO NSTP
AZROY berdepan hukuman penggantungan maksimum selama empat tahun. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sentiasa mengamalkan dasar terbuka kepada setiap atletnya yang memohon bantuan atau sebarang pertolongan.

Ia termasuk membabitkan kes doping dua atlet angkat berat negara Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari yang mana PABM sudahpun memaklumkan kepada mereka untuk berhubung dengan peguam persatuan.

Setiausaha Kehormat PABM, Wan Muhammad Hafiz Wan Izanatar bagaimanapun memaklumkan hingga kini bahawa kedua-dua masih lagi berdiam diri.

"Kita sudah meminta Azroy untuk berhubung dengan peguam sekiranya memerlukan sebarang bantuan sokongan.

"Setakat ni dia masih belum jumpa peguam PABM lagi dan jika dia mahu kita masih lagi terbuka untuk berbincang," katanya.

Wan Muhammad berkata, ketika ini PABM masih menunggu keputusan dari Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) berhubung sesi pendengaran yang mana ia mungkin dijangka diumumkan pada Disember ini.

"Buat masa ini kita tunggu keputusan. Bila ada keputusan kami akan teliti semula dan putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Untuk rekod Azroy yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast selesai menjalani sesi pendengaran yang kendalikan oleh panel Adamas Sabtu lalu manakala Muhammad Ikram akan menghadiri satu lagi sesi pendengaran minggu depan.

Kedua-duanya berdepan hukuman maksimum empat tahun jika didapati bersalah dan ini bermakna Azroy akan terlepas peluang mempertahankan emas yang dimenanginya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Birmingham tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 8:33 PM