IKRAM digantung selama empat tahun. FOTO Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari
IKRAM digantung selama empat tahun. FOTO Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet angkat berat yang digantung selama empat tahun selepas didapati menggunakan bahan terlarang, Muhammad Ikram Haikal Mohd Zuari menegaskan tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang dalam sukan itu selepas tamatnya penggantungan.

Namun masih ada secebis harapan buat Ikram, 19, yang berharap surat rayuan yang sudah dihantar kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akan dipertimbangkan agar hukuman itu dapat dikurangkan.

Ikram mengakui sedih dan kecewa kerana merasakan hukuman itu terlalu berat bagi dirinya.

"Saya memang ada rasa sedih dan kecewa. Tapi kalau saya nak cakap pun tiada sesiapa yang nak dengar.

"Saya baru berusia 19 tahun dan rasa hukuman itu berat sangat kerana saya memang ambil ubat berkenaan untuk tahan sakit pada sesi latihan dan ia diberikan oleh kawan saya.

"Saya tak tahu ada bahan terlarang dalam ubat itu. Memang saya rasa kecewa yang amat sangat sebab hancur macam itu saja masa depan saya," katanya.

Justeru dia amat mengharapkan agar PABM memberi pertimbangkan terhadap surat rayuan yang sudahpun dihantar kepada badan induk itu.

Ikram bersama seorang lagi atlet angkat berat iaitu yang juga pemenang pingat emas temasya Komanwel Gold Coast 2018, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar didapati bersalah kerana melanggar pelanggaran artikel 2.1 dan artikel 2.2.

Ujian yang dilakukan mendapati mereka bersalah apabila menggunakan bahan terlarang metandienone yang disenaraikan sebagai Anabolic Androgenic Steroids di bawah Senarai Terlarang (Prohibited List) WADA 2021.

Mengulas mengenai perancangan Ikram yang pernah meraih emas di Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Sirkit 1 pada 2019 berkata, buat masa ini dia akan terus menjalani latihan agar tidak berdepan masalah sekiranya kembali terbabit dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 4:37 PM