PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat.
PRESIDEN PABM, Datuk Ayub Rahmat.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belumpun selesai kes membabitkan dua atlet angkat berat yang didapati positif doping September lalu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kini dipalit sekali lagi dengan isu berkenaan apabila seorang lagi atlet angkat berat didapati positif bahan terlarang.

Atlet berkenaan didapati positif bahan terlarang jenis sibutramine ketika ujian dilakukan ketika Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang Oktober lalu.

Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Azura Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dengan laporan lengkap akan diserahkan kepada PABM dalam masa terdekat.

"Setakat ini seorang atlet angkat berat yang menyertai Kejohanan Kebangsaan di Rompin didapati positif sibutramine. Laporan akan disediakan untuk diberikan kepada persatuan dengan sesi pendengaran akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

"Dalam tempoh itu, kami akan memberi peluang kepada atlet berkenaan mengeluarkan surat keterangan mengenai keadaan itu," katanya.

Azura berkata, sesi pendengaran membabitkan kes berkenaan dijangka dilakukan bulan depan selepas jawatankuasa bebas dilantik,.

Sementara itu, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat turut mengesahkan perkara itu dan kini menunggu laporan lengkap dari Adamas.

Sibutramine adalah sejenis bahan terlarang yang digunakan untuk diet dan senaman bagi merawat obesiti selain berkaitan dengan diabetes, kolesterol tinggi atau tekanan darah tinggi. Ia juga boleh digunakan bagi tujuan lain.

September lalu, arena sukan negara dikejutkan dengan isu doping membabitkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari.

Kesan daripada itu PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju membubarkan skuad angkat berat kebangsaan sedia ada dan memilih skuad baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 10:56 PM